Thursday, November 15, 2007

Al-Quran: Petunjuk sepanjang zaman


Bilangan 28 : 16 RAMADHAN 1428H Bersamaan 28 September 2007M
Oleh: Ahmad Baihaqi Hassan, Tahun Dua, Universiti Kaherah



Kita semua tahu, Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk disebarkan kepada semua umat manusia. Al-Quran merupakan mukjizat yang agung kepada junjungan besar Muhammad S.A.W. Namun, sejauh mana pengakuan keimanan kita terhadap Al-Quran melalui perbuatan.




Adakah peristiwa Nuzul Quran yang disambut setiap 17 Ramadhan memberi kesan terhadap kita untuk menjadi hamba yang lebih baik?




Allah S.W.T. telah memerintahkan manusia supaya membacanya sebagaimana firman Allah S.W.T. yang berbunyi;




Maksudnya : “(Katakanlah wahai Muhammad): Aku diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (mekah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati, dan menguasai segala-galanya; dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi daripada orang-orang Islam (yang menyerahkan diri bulat-bulat kepadanya). Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran. Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Quran dengan beramal dengannya ) maka faedah perbuatannya itu akan kembali kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepada mereka: “Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran.”


Ia merupakan perlembagaan kepada umat Islam dan sebagai sumber rujukan utama bagi umat Islam seluruhnya. Di dalamnya terkandung ilmu-ilmu yang dapat memberi manfaat kepada manusia. Sejajar dengan kepentingan al-Quran dalam kehidupan manusia, maka setiap muslim dituntut untuk mempelajari ilmu al-Quran. Sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi:



“Sebaik-baik di kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” Membiasakan diri agar sentiasa membaca Al-Quran walaupun sedikit pada tiap-tiap hari merupakan inisiatif yang boleh kita lakukan untuk mengikat hati kita kepada Al-Quran. Tetapkan dalam setiap hari waktu yang terbaik untuk membaca Al-Quran. Sesetengah daripada kita mampu untuk membaca buku, akhbar, majalah dan mengulangkaji pelajaran berjam-jam, sedangkan dalam masa yang sama tidak mampu membaca Al-Quran. Perkara ini perlu diubah oleh setiap manusia kerana bacaan Al-Quran lebih utama. Sahabat! Jauhilah daripada meninggalkan Al-Quran dan lupa membacanya. Cukuplah ganjaran pahala yang digandakan pada bulan Ramadhan ini menjadi pemangkin hati kita untuk membaca Al-Quran. Firman Allah Taala :


“Dan katalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kamuku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”


(Al-Furqan 30)




Daripada Saidina Othman R.A. berkata, “Sekiranya hati kami bersih, nescaya aku tidak kenyang daripada membaca al-Quran, sesungguhnya aku benci datang padaku hari yang mana aku tidak dapat melihat mashaf.”


Namun, membaca sahaja tidak cukup. Membaca sambil merenungkan dan menghayati makna yang terkandung pada ayat-ayat yang dibaca dan cuba memahaminya. Memohon syurga kepada Allah S.W.T. apabila membaca ayat-ayat yang menyebut syurga dan berlindung kepada Allah SWT daripada api neraka apabila membaca ayat-ayat yang berkaitan dengan neraka.Itulah adab yang diajar junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada kita. Allah S.W.T telah berfirman di dalam Al-Quran




“Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya merka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang mempunyai fikiran.”


(surah As-Sod;29)




“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran ? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran.”


(surah Muhammad;24)




Di dalam hadith yang telah diriwayatkan oleh Hudzaifah.


“….. Apabila Nabi S.A.W. terbaca ayat yang mengandungi makna bertasbih (kepada Allah) baginda bertasbih, dan apabila terbaca ayat yang mengandungi doa, maka baginda berdoa, dan apabila terbaca ayat yang bermakna meminta perlindungan (kepada Allah) beliau memohon perlindungan.”


(Riwayat Muslim)




Daripada ‘Auf bin Malik R.A.: “Aku solat bersama Rasulullah SAW pada suatu malam maka baginda membaca surah Al-Baqarah, tidak melalui mana-mana ayat rahmat kecuali Baginda berhenti seketika dan memohon rahmat daripada Allah S.W.T. Dan tidak membaca mana-mana ayat azab kecuali baginda berhenti dan meminta perlindungan daripada Allah S.W.T.”


(Riwayat Abu Daud dan Nasaie)




Ibnu Mas’ud RA berkata: “Adalah seorang daripada kami apabila mempelajari sepuluh ayat al-Quran nescaya mereka tidak mempelajari ayat lainnya sehinggalah mereka mengetahui makna dan beramal dengan apa yang mereka pelajari.”


Cuba Tanya diri kita. Pernahkah kita cuba untuk memahami al-Quran? Pernahkah kita menangis ketika membaca al-Quran? Alangkah malangnya kita jika Allah tidak memberi hidayah kepada kita untuk memahami Al-Quran. Alangkah malangnya kita, jika Allah tidak memberikan hidayah kepada kita untuk menangis, insaf dengan apa yang termaktub di dalam Al-Quran.




Firman Allah S.W.T., Maksudnya : “ Mereka itulah sebahagian daripada nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka daripada keturunan Nabi Adam dan daripada keturunan orang-orang yang. Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh dan daripada keturunan Nabi Ibrahim dan (daripada keturunan) Israel dan mereka itu adalah daripada orang-orang yang kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.”


(Surah Maryam :58)




Daripada Ibnu Abbas R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Sebaik-baik manusia yang membaca al-Quran adalah mereka yang membaca Al-Quran engkau lihat ia dalam keadaan khusyuk kepada Allah.”


(Riwayat Baihaqi)




Realiti keparahan sikap masyarakat sekarang amat membimbangkan kita. Ada antara mereka yang sanggup mendustakan dan memperlekehkan apa yang telah termaktub didalam al-Quran. Akidah mereka umpama telur di hujung tanduk. Betapa manusia semakin jauh dengan Al-Quran.


Kita, yang masih sedar, jangan sekali mengikuti jejak langkah mereka apatah lagi mengiktiraf mereka. Ingatlah antara tanggungjawab kita di muka bumi ini adalah sebagai daieyyullah. Jadikan Al-Quran teman kita, panduan kita dan akhlak kita. Ramadhan ini, moga lebih mendekatkan kita kepada Al-Quran.. InsyaAllah.

Monday, November 12, 2007

Medan Pembersih Hati dan Jiwa

Bilangan 27 : 9 RAMADHAN 1428H Bersamaan 21 September 2007M

Oleh: Fatin Hanira Binti Abdul Patar, Tahun Dua, Universiti Kaherah


Bicara sekeping hati..


Ramadan datang lagi. Ramadan karim!


Pantas masa berlalu meninggalkan anak-anak adam sejagat terpinga-pinga kaku di sebalik tembok ruhiah..ya rabb..ramadan datang lagi! Lantas semua manusia,tidak kira daripada seorang tukang sapu kepada semuli-mulia darjat seorang sultan alim yang memerintah terus tunduk akur dengan perintah Allah, pemilik seluruh alam.. untuk melaksakan satu misi agung iaitu menjalani ibadah puasa dengan khusyuk dan tawadduk.


Rasulullah s.a.w bersabda : “ apabila datangnya Ramadan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka jahannam akan ditutup dan syaitan laknatullah akan ditambat”


Hati terus berbicara..


Abu hurairah r.a meriwayatkan dari rasulullah s.a.w : “sesungguhnya syaitan bergerak dalam diri anak adam melalui saluran darah, maka sempitkanlah ia dengan berlapar (iaitu puasa).


Sesungguhnya syaitan itu musuh manusia yang amat nyata. Saban hari kita disogokkan dengan isu pergolakan batiniah para remaja.. wahai anak muda, sedarlah kalian bahawa hidup ini hanya sementara sahaja. Mahukah kalian dihumban ke dalam neraka jahannam? mahukah kalian menempah tiket untuk berada di dalam nar yang panas membahang? mengapa kalian tidak merebut-rebut peluang yang dijanjikan Allah untuk berteduh di bawah naungan arasyh azzajawajalla?


Rasulullah s.a.w, terdapat 7 golongan yang akan bernaung di bawah paying Allah ketka hari akhirat. Antaranya, golongan pemuda yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid”


Justeru, bulan Ramadan tiba menggantikan beberapa bulan yang lalu yang telah kalian bazirkan masa, wang, tenaga dan keringat kalian untuk perkara yang tidak berfaedah. Ahlan Ya Ramadan! Besar tapak tangan nyiru kami tadahkan!.


Hati terpaku seketika.


Ramadan bulan yang mulia. Lazimilah lisan kalian dengan menyebut kalimah Allah yang quds. Tiada siapa yang boleh meneka isi hati seseorang. Hanya Allah yang mengetahui segala. Setiap perbuatan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan sebaliknya. Oleh itu, bangkitlah kalian, kita manfaatkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini dengan membaca Al-quran secara tartil dan bertadarus. Al-Quran itu penawar jiwa dan penyembuh hasad dengki.


Firman Allah
ولقد يسرنا القرءان للذكر فهل من مدكر
(dan sesungguhnya Al-Quran itu kami mudahkan untuk dijadikan peringatan,tetapi adakah orang yang mengambil pengajaran?)


(surah al-qamar : 17)


Hati terus berbisik,


Penghayatan di bulan berkat ini perlu ditingkatkan lagi.misi pencarian ilmu harus ditingkatkan menjadi misi super pada tahun ini. Alhamdulillah, kalian ditempatkan di bumi kinanah yang menghidangkan 1001 juzuk-juzuk ilmu yang berkaitan ilmu keagamaan, perubatan, falsafah dan sebagainya. Justeru, sempena kedatangan ramadhan yang mulia ini, rebutlah seberapa banyak peluang untuk menambahkan thaqafah din dalam diri masing-masing. Tanamkan semangat dan azam baru untuk memburu ilmu sebanyak yang mungkin. Jadikan ramadhan di bumi anbiya’ ini lebih bermakna berbanding sebelumnya. Tapi awas kalian semua, ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Kata-kata seorang hukama ada menyebut :
العلم في الصدور ليس في الستور


Hati terpaku seketika,


Kempen sedekah di sana-sini.namun masih ramai masyarakat kurang meneydari peri pentingnya keutamaan dalam bersedekah ini.ada yang berpendapat mereka akan rugi dan paling tidak pula yang mengatakan dirinya ditipu oleh peminta sedekah tadi. Ada pula yang mengatakan mahu mengajar si peminta sedekah agar mencari peluang kerjaya yang lain selain menjadi pemita sedekah. Senario ini begitu berleluasa di kalangan masyarakat kita sendiri. Sudah kering keringat pak-pak imam, ustaz-ustaz yang ligat berkhutbah memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan bersedekah. Tetapi, mentality masyarakat masih lagi di takuk lama. Sabda rasul s.a.w, “tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima”. Orang yang banyak bersedekah akan dikasihi Allah dan rasul dan diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah. Selain itu, dengan bersedekah, tiada sepicing jurang pun yang wujud antara sesama makhluk Allah. Di padang masyar kelak, Allah akan menghitung hisab seseorang berdasarkan amalannya di dunia dan bukan kerana bertimbunnya harta dan kereta.


Malam semakin hening,kian melabuhkan tirai malamnya.kedengaran bunyi unggas dan cengkerik. Namun, insane masih lagi menyepi. Tiada respon untuk bangkit dan menghadap Ilahi dengan rendah diri.




Firman Allah taala
ومن الليل فتهجد به نافلة لك عسى ان يبعك ربك مقاما محمودا
“ dan pada sebahagian malam hari solat tahajjudlah kamu sebgai satu ibadah tambahan bagi dirimu.mudah-mudahan Alalh mengangkat kamu ke darjat yang terpuji”
(al-Isra:79)


Perbanyakkan solat sunat di malam hari kerana besar ganjaran yang akan diperoleh. Memanglah solat malam sukar dilaksanakan, tetapi impaknya amat baik dan dapat menjernihkan hati seseorang. Ia juga dapat memupuk semangat kecintaan kepada penguasa Alam, membekalkan mujahid dakwah dan semangat keihklasan yang tinggi dalam jiwa seseorang.

Wednesday, September 19, 2007

Kelebihan Awal Ramadhan

Kelebihan Awal Ramadhan

Bilangan 26 : 2 RAMADHAN 1428H Bersamaan 14 September 2007M Oleh: Muhammad Hafzi Bin Abdul Hamid, Kuliyyah Perubatan, Universiti Kaherah



Salamollahi Alikom

Kaki menyusuri jalan-jalan raya di kota yang kaya dengan khazanah sejarah Islam. Kaherah ini, tampak meriah dengan lampu yang bergemerlapan, berwarna-warni menandakan Ramadhan tahun ini sudah menyapa. Sana sini kedengaran alunan Kalamullah mendayu-dayu dibawa bayu Nil. Kemeriahan Ramadhan di Ardhul Kinanah menyingkap rasa takjub dalam hati terhadap 1001 rahsia kemuliaan bulan Ramadhan sebagai belas kasihan DIA yang Maha Mencipta terhadap makhluk-NYA. Terdetik di sudut hati, “Hai jiwa! Sudah bersediakah kamu untuk menempuhi ramadhan kali ini?”

Sambil mata menjamah kemeriahan, akal ligat mengingati hikmah kejadian bulan Ramadhan.

Ramadhan ibarat tempat berteduh setelah perjalanan 11 bulan yang panjang, meniti liku-liku hidup yang penuh cabaran. Manusia memerlukan kerehatan yang cukup dan kekuatan yang baru. Tentu sahaja sumber kekuatan itu adalah Allah SWT, Raja segala raja, Tuhan seluruh alam. Sebab itu manusia memerlukan suatu perhentian bernama Ramadhan, tempoh untuk menumpukan pengabdian kepadaNYA tanpa sebarang gangguan, supaya dapat meneruskan perjalanan hidup seterusnya dengan tenang dan tegar.

Minda remaja terkenang ’leteran’ ustaz di sekolah dahulu.“Bulan Ramadhan ini ada 3 fasa, 10 hari yang awal merupakan fasa pertama, 10 hari pertengahan merupakan fasa kedua manakala 10 hari terakhir merupakan fasa ketiga”. Begitulah yang beliau terangkan. Lantas satu hadith dilafaz seakan mengetahui apa yang bermain di minda-minda muda yang kurang memahami. Sabda Junjungan Besar Rasulullah SAW,“Bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada api neraka’’. Bergetar hati penuh rasa takjub dan keinsafan. Betapa Pemurahnya Tuhanku. Sabda Baginda SAW lagi dalam hadith yang lain “Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan“. Alangkah bertuahnya kita menjadi ummat Nabi Muhammad SAW. Sedangkan si anak bongsu berasa bangga apabila dimanjakan ibu dan bapa, inikan pula kita yang di’manja’kan Pemilik Alam.

Jiwa ini sayu memohon rahmat yang dijanjikan. Jiwa mana yang tidak mahukan rahmat? Jiwa mana tidak mahukan kebahagiaan? Walau mulut ’nakal’ menafikan, namun hati dan fitrah tetap mengharap. Yang fasik mahupun yang munafiq apatah lagi hatinya subur dengan iman, semuanya secara fitrah mengharapkan rahmat Allah Taala. Hanya dengan rahmatNYA, tubuh hina ini bebas dari bahang neraka. Hanya dengan rahmatNYA, tubuh ini dapat mengecapi nikmat syurga yang tidak tercapai dek akal manusia yang terbatas. Harus diingat hai jiwa, tidak hadir rahmat itu dengan amalan yang sia-sia apatah lagi maksiat.

Dalam mata nakal memerhati sekeliling, hati berkata,“Alangkah bertuahnya kamu wahai jiwa, saat ini berada di bumi berkat ini“. Mata mengakui namun hati belum tentu mengiktiraf, alangkah indahnya biah masyarakat ini menghidupkan bulan Ramadhan. Mengapa tidak budaya ini yang kita ikuti dan ’bekalkan’ ketika pulang ke tanah air. Dalam kesesakan dan kepadatan manusia di dalam keretapi, dalam kesibukan manusia berurus-niaga di pasar-pasar, kelihatan tangan-tangan memegang kitab suci panduan umat Islam. Kelihatan bibir-bibir kering menyebut kalimah-kalimah dari Al-Quran. Firman Allah Taala,“Itulah kitab (Al-Quran) yang tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa“. (al-baqarah: 2). Yang tua mahupun yang muda, yang berdiri mahupun yang sedang duduk, semuanya berlumba-lumba untuk mendapatkan rahmat yang dijanjikan. Pemandangan yang amat menyenangkan mata dan hati. Bagaimana pula denganmu wahai jiwa?

Anak bulan ramadhan masih kelihatan di kaki langit. Ramadhan baru bermula. Jangan kamu mudah tersungkur hai jiwa. Tiba masa untukmu mengorak langkah, merencana usaha menagih rahmat tuhan. Bila lagi? Hendak tunggu sehingga fasa kedua tiba? Alangkah ruginya kamu wahai jiwa. Hendak tunggu sehingga fasa ketiga tiba? Alangkah malangnya kamu wahai jiwa. Hendak tunggu ramadhan akan datang? Alangkah bodohnya kamu wahai jiwa. Bukankah kamu beriman dengan ayat Allah “ Dan tiada seorangpun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati.“ (Luqman: 34). Wahai jiwa, garablah segala peluang yang ada di depan mata.

Tika kaki mengorak langkah, tidakkah kau sedari hai jiwa? Bukankan bayu yang kau hirup di bulan ramadhan ini ada semacam kelainan? Alangkah bertuahnya kamu hai jiwa masih mampu bernafas untuk mengecapi nikmat ramadhan tahun ini.Namun wahai jiwa, ini baru awalnya. Adakah kamu pasti kamu akan berkesempatan untuk bertemu penghujungnya? Hiasilah awalnya agar kekal cantik hingga akhirnya.

Realiti hari ini, saat ini, kita telah berada dalam ’fatrah’ fasa pertama Ramadhan. Walau dicubit pipi , walau ditepuk dahi, tidak akan terjaga dari mimpi kerana ini realiti. Ramadhan lepas telah sepi meninggalkan kita, tidak mungkin menjenguk kembali.Saat ini, Ramadhan juga namanya,tetapi hakikatnya berbeza dengan yang lepas. Saat ini, bukan kekesalan yang patut bertakhta dalam hati, tetapi harapan dan azam. Rahmat Allah yang telah dijanjikan telah terhidang dihadapan mata. YA! saat ini. Nah! Apa lagi yang kita tunggu. “Pulun yop!pulun!“


Friday, September 7, 2007

Ahlan Ya Ramadhan

Ahlan Ya Ramadhan!!

Bilangan 25 : 25 SYAABAN 1428H Bersamaan 7 September 2007M Oleh: Maisarah Kamaruzaman,Kuliyah Perubatan, Universiti Kaherah

Assalamualaikum w.b.t


“In the name of God..The Most Gracious..The Most Merciful..”


“Dalam bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran, pimpinan untuk manusia dan penjelasan keterangan dari pimpinan kebenaran itu, dan yang memperbedakan antara kebenaran itu, dan yang memperbedakan antara kebenaran dan kesalahan. Siapa yang menyaksikan bulan Ramadhan, hendaklah berpuasa, dan siapa yang sakit atau dalam perjalanan, maka puasakanlah itu pada hari yang lain, Allah mahu memberikan kelapangan kepadamu dan tidak hendak memberikan kesulitan dan supaya kamu dapat mencukupkan bilangan bulan itu; dan membesarkan Allah, kerana pimpinan yang telah diberikan-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur…”
Al-Baqarah (185)

Syukur Alhamdulillah kita panjatkan kepada Rabbul Alamin..Tuhan Yang Menciptakan dan kepada-Nyalah dikembalikan segala urusan…

Alangkah bertuahnya kita masih diberi peluang sekali lagi untuk mengecapi bulan Syaaban sesudah Rejab pada tahun ini..dan moga-moga dengan kemurahan-Nya kita diberi kesempatan untuk menemui Ramadhan yang bakal kunjung tiba..Pastinya kemeriahan berpuasa di sini tidak sama seperti berpuasa di Malaysia bersama keluarga tercinta…namun, jika direnung kembali..berpuasa di bumi warisan anbiya’ ini lebih banyak menjanjikan kepuasan “berpuasa” itu sendiri..Malamnya yang dipenuhi dengan suara-suara imam masjid yang khusyuk mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran..Ada yang sejuzu’ satu malam..ada yang sepertiga juzuk..diikuti dengan sedikit tazkirah berbahasa arab di sesetengah masjid..dan pada waktu hampir subuh..ada masjid yang menghidupkan malam dengan qiamullail..tidak mahukah kalian menjadi seperti sebahagian ahli kitab yang pernah dirakamkan di dalam Al-Quran bermaksud “ Di antara orang-orang keturunan kitab itu ada golongan yang lurus (iaitu golongan yang masih berpegang teguh kepada kebenaran dan mengikuti syariat agamanya dengan patuh), dan mereka membaca ayat-ayat (keterangan-keterangan) Allah di TENGAH MALAM dan mereka SUJUD (kepada Allah)..Ali Imran, ayat 113...Indah bukan?

Kemudian..pada sebelah siangnya..sudah tentu kalian sibuk dengan kuliah..cuba bayangkan betapa banyaknya pahala yang tercatat dan betapa banyaknya dosa yang mungkin terhapus dengan setiap langkah kaki kalian ke majlis ilmu, andai niat di dada hanyalah untuk Lillah Azza Wajal?

Bagi yang tinggal di rumah..jika kalian di tugaskan untuk memasak pada hari berpuasa tersebut…mungkinkah terhitung berapa banyaknya pahala yang bakal kalian peroleh andai dilakukan semata-mata hadis Nabi (saw) yang berbunyi “Pahala orang yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa adalah seperti orang yang berpuasa”…Sahih Bukhari

Di bulan yang mulia ini juga..peluang untuk berbuat kebaikan terbuka seluas-luasnya ... pahala amalan digandakan Tuhan berlipat-lipat ganda..mengapa harus membiarkan kemurahan Ar-Rahman ini berlalu sebegitu sahaja..ringan-ringankanlah tangan..hulurkanlah sedekah kepada fakir miskin..ibnus sabil..teman-teman seperjuangan yang kurang berkemampuan…ketahuilah..perumpamaan pahala untuk orang yang bersedekah adalah seperti satu biji yang darinya bercambah tujuh tangkai dan dari setiap tangkai itu seratus buah dan Allah melipat gandakan (ganjaran-Nya) untuk siapa yang disukai-Nya dan Allah luas itu pemberian-Nya dan Maha Mengetahui..

Namun..waspadalah…kerana perkataan yang baik dan pemberian ampun adalah terlebih baik dari sedekah yang diiringi cercaan (celaan), dan Allah itu Maha Kaya dan Penyantun…Al Baqarah ayat 261 dan 263

Renungkanlah pula firman-Nya yang berbunyi “Bukanlah kebaikan itu menghadapkan muka ke sebelah timur dan barat (upacara menghadap ke timur dan barat), tetapi kebaikan itu adalah orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dikasihinya itu kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, orang-orang yang meminta, untuk melepaskan perhambaan, mengerjakan sembahyang, membayar zakat, dan memenuhi JANJI apabila mereka berjanji, sabar dalam kesengsaraan dan kemelaratan dan di waktu perang. Merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang memelihara dirinya (dari kejahatan).. Al-Baqarah ayat 177..

Di sini..telah jelaslah kepada kita bahawa dalam agama, bukanlah upacara menghadap ke timur dan ke barat yang menjadi pokok terpenting..tetapi adalah isi dari keagamaan itu sendiri dan pengaruhnya kepada jiwa dan perbuatan pemeluknya yang merupakan keimanan yang kuat, kebaktian sesama manusia, peribadatan yang penuh khusyu’, tawadhu’, budi kesopanan yang tinggi dan sebagainya…

“Demi masa…sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian..kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh…dan berpesan-pesan kepada kebaikan..dan berpesan-pesan kepada kesabaran.” ...Jadi, apa yang ditunggu lagi?..segeralah laksanakan budaya “Tanasuh” sesama ahlil bait dan rakan seperjuangan bukan saja sempena bulan yang mulia ini..bahkan sepanjang kehidupan kita..budaya ‘Ifsha’us Salam” (sebarkan salam) juga janganlah dilupakan…moga-moga kita dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang beruntung di akhirat sana nanti..InsyaAllah..

Sahabat sahabiah yang dikasihi sekalian...rebutlah masa yang masih tersisa lagi di bulan Syaaban ini untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya sebagai persediaan untuk kita menyambut Ramadhan yang bakal kita lalui dalam beberapa hari sahaja lagi…Mungkin ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita…Coretkanlah yang terbaik untuk buku amalan yang baru sahaja kita mulakan sempena Nisfu Sya’ban baru-baru ini..moga segala kebaikan yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini akan menjadi pembakar semangat untuk kita menempuh satu lagi tahun hadapan dengan azam yang lebih membara dalam mengejar Redho-Nya…

”Allahumma Ballighna Ramadhan…” Amiin Ya Rabb!!

Bersama Merebut Rahmat dan Kasih SayangNya...

Ahlan Bikum!!

Ahlan Bikum!!
Bilangan 24 : 18 SYAABAN 1428H Bersamaan 31 Ogos 2007M Oleh : Biro Pembangunan Insan PERUBATAN
Assalamualaikum w.b.t

Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikum kami ucapkan kepada adik-adik baru kuliah perubatan sesi 2007/2008. Semoga kehadiran kalian ke bumi yang penuh barakah ini akan menjadi tarbiyah dalam kehidupan untuk menghadapi lebih banyak rintangan dan dugaan di masa mendatang..Tidak lupa juga kepada senior-senior pelajar perubatan yang baru sahaja kembali dari tanah air,Ahlan Bikum!

Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata Nabi Yusuf kepada bapa dan ibu saudaranya tatkala baginda menjadi bendahara Mesir suatu ketika dahulu yang bermaksud “Masuklah kamu ke negeri Mesir dengan aman sentosa, jika Allah mengkehendaki”.. Surah Yusuf ayat 99...Nah,lihat sahaja di sekeliling kalian, walaupun bumi ini tidaklah sehijau dan sehebat negara kita, namun alangkah syukurnya kita di tempatkan di sini yang jauh dari peperangan, pembunuhan dan ancaman…Ini janji tuhan..mudahan-mudahan Dia melimpahkan rahmat seluas-luasnya kepada kita, bukan sahaja sebagai seorang pelajar, bahkan jua pejuang dalam menuntut ilmu perubatan sekaligus ilmu agama di sini...

Bagi adik-adik yang baru tiba, ambillah masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling, masyarakat, rakan-rakan..Memang tidak dinafikan, keadaan di sini agak lebih mencabar dan sangat berbeza dengan keadaan di Malaysia, bumi kesayangan kita..Namun, berfikiran positiflah selalu…Lihatlah segala ujian ini sebagai suatu latihan yang dapat meningkatkan lagi jati diri kita dan memantapkan mental juga fizikal sebelum menempuh alam pekerjaan sebagai seorang doktor yang jauh lebih mencabar..Ingat..kita adalah apa yang kita fikirkan!...Sungguh Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu terlebih dahulu berusaha untuk mengubah nasibnya sendiri…

Sempena program orientasi yang akan berlangsung selama tiga hari ini, kami pihak senior sangat berharap untuk mendekati adik-adik sebelum kalian berpindah ke hostel nanti…bagi adik-adik pula, gunakanlah kesempatan ini untuk mengetahui sebanyaknya samada tentang kehidupan di sini, teknik-teknik pembelajaran yang berkesan, sistem pendidikan dan banyak lagi perkara lain..Janganlah segan untuk bertanya..selagi kami mampu, InsyaAllah kami akan cuba untuk memberi penerangan yang sebaik mungkin..

Bagi kebanyakan universiti di Mesir, kuliah akan bermula pada 15 September 2007, iaitu sebaik sahaja puasa baru bermula…Istimewanya universiti-universiti ini adalah kerana tempoh pengajian sepanjang bulan Ramadhan disingkatkan untuk mengurangkan keletihan kaum muslimin menjalankan ibadah puasa sekaligus memberi kerehatan bagi mengerjakan terawih dan Qiamullail di sebelah malamnya…Inilah salah satu keuntungan belajar di sebuah negara yang masih mengekalkan dan menjunjung tinggi syiar-syiar Islam…Seolah-olah masa di bulan ini lebih banyak dihormati untuk melakukan kebaikan dan amal soleh sebanyak-banyaknya...
Adik-adik yang di sayangi sekalian,

Gunakanlah kesempatan usia muda ini untuk menggali ilmu sedalam-dalamya di tanah yang gersang ini…selagi tubuh masih kuat, selagi fikiran masih tajam, usia ini adalah kemuncak dalam kehidupan seseorang…Jadi, mengapa harus biarkan ianya berlalu sia-sia? Ingatlah, kita memikul amanah yang sangat berat. Duit kerajaan yang kita dapat bagi pelajar-pelajar yang mendapat tajaan, cuba bayangkan betapa banyak titis peluh para petani yang tercurah di sebaliknya…betapa banyak keringat yang mengalir dari rakyat negara kita, dan duit itu juga datangnya dari hasil jerih payah ayah dan ibu kita yang membayar cukai kepada kerajaan..sanggupkah kita menghampakan mereka..sanggupkah lagi kita bersenang-lenang atas kesusahan orang lain? Buatlah yang terbaik dalam pengajian yang bakal kalian tempuhi, jangan persiakan nikmat ini, jangan pernah cuba mencari alasan untuk tidak berjaya…kerana kita semua adalah sama, tiada siapa yang dilahirkan berjaya…segalanya harus bermula dari “tiada kepada ada”…Tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu!..

Haruslah diingat, dalam kita sibuk mengejar kuliah dan menimba ilmu, jangan pula kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai sahabat kepada sahabat yang lain…Jika sebelum ini kita punyai ibu dan ayah yang tidak lekang memberi nasihat dan semangat, namun kini kita jauh dari mereka…seharusnya seorang sahabat yang baik itu sentiasa membantu sahabatnya yang lain..janganlah hanya kita sahaja yang ingin berjaya…nasihatilah sahabat yang lain andai mereka tersalah langkah…tiada budaya “nafsi-nafsi” di dalam Islam, bahkan Allah menyuruh kita menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran…supaya kita menjadi ummat yang terbaik “Khoiril Ummah”…Fikirkan saja hikmahnya!

Akhir kata, kami amat mengharapkan kerjasama yang sebaiknya dari kalian sepanjang tahun ini dan tahun-tahun berikutnya dalam apa juga aktiviti yang akan dianjurkan oleh “PERUBATAN”…Moga kehadiran kalian akan menjadi penyeri kepada bumi mesir ini…
Wassalam

Siapa Aku?

Siapa Aku??

Bilangan 23 : 18 Rabiul Awal 1428H bersamaan 6 April 2007M

Oleh : Mohd Husmar Israq Husin, Tahun 4, Kuliyah Perubatan, Universiti Ain Shams
Bendahari Kehormat Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir

12 Rabiul Awal, tarikh ini begitu penting bagi penduduk dunia dan tanggal istimewa bagi umat Islam. Seorang lelaki telah dilahirkan bersama misi Iman dan Islam untuk dunia. Allah yang tidak dapat dilihat oleh manusia telah melantik satu jasad yang mampu dilihat oleh manusia malah daripada golongan manusia sendiri sebagai utusan. Muhammad (selawat ke atas Baginda), dengan gelaran 'terpuji' itu, baginda dibebankan oleh Allah untuk menyambung tugas yang ditinggalkan oleh Isa Putera Maryam.

'Akidah yang satu, namun dengan syariat yang sedikit berbeza berbanding utusan Allah sebelumnya', manusia perlu dikeluarkan daripada fenomena menyembah makhluk kepada menyembah Allah. Nafsu bukan lagi tuhan, tetapi Allah yang berhak diagungkan. Akal tidak akan pernah menewaskan akidah. Menikmati dunia bukan secara melulu tetapi sekadar perlu.

Tahukah anda baginda ialah manusia yang dipimpin oleh wahyu Allah? Tidak hairanlah mengapa dalam sesuatu ketika Baginda tidak akan bersabda selagi belum diwahyukan Allah. Selain itu, tidak seperti tokoh-tokoh lain di dunia, ditutup oleh Allah kepada Baginda pintu maksiat samada sebelum atau setelah kerasulan. Hal ini agar tiada keraguan walau secebis pun akan timbul dalam hati pengikutnya mahupun menjadi hujah oleh musuhnya.

Nabi pernah berdiri di atas mimbar kemudian bersabda: "Siapakah aku?" Para sahabat menjawab " Engkau adalah Rasulullah, semoga keselamatan ke atasmu." Nabi bersabda, "Aku ialah Muhammad bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk (manusia), kemudian Dia menjadikan mereka 2 kelompok, lalu menjadikan aku dalam kelompok yang terbaik, kemudian Dia menjadikan mereka beberapa kabilah dan menjadikan aku di dalam kabilah yang terbaik, kemudian Dia menjadikan mereka beberapa rumah, dan menjadikan aku di dalam rumah yang terbaik dan paling baik jiwanya." (Tirmidzi). Ini antara contoh nabi menceritakan perihal dirinya.

Sekarang, ketuklah pintu hati kita dengan soalan bagaimana untuk melahirkan cinta yang benar-benar dalam terhadap kekasih Allah? Hakikat bahawa kita berada dalam senarai penghujung pengikut Baginda tidak harus menjatuhkan semangat kita. Tiada cinta tanpa kenal, jangan cuba sangkal hakikat ini. Kisah sejarah Rasul Allah yang kita pelajari selama ini di sekolah2 mampu memberikan kita pandangan sekadar di permukaan sahaja. Akan tetapi keenakan menghayati 'hidup' baginda lebih terasa jika setiap kisah yang kita baca disertakan dengan nas yang sahih. Kita akan merasa sendiri seakan-akan Baginda hidup dan sedang berinteraksi di hadapan kita. Perhatikan hadith daripada Anas berikut: "Aku tidak pernah menyentuh kain celupan atau sutera selembut tapak tangan Rasul Allah. Aku telah berkhidmat kapada Rasul Allah selama 10 tahun tetapi beliau tidak pernah berkata 'ah' kepadaku dan tidak pernah menegur terhadap apa yang aku lakukan dengan teguran "Kenapa engkau lakukannya?", juga tidak pernah menegur kenapa aku tidak melakukan sesuatu." Cuba letakkan diri kita dalam situasi itu. Seorang hamba baginda langsung dilayan mulia, biarpun masyarakat memandang mereka tanpa darjat

Setelah 43 tahun hidup bersama dengan Quraish, Baginda menguji kepercayaan mereka akan dirinya di Bukit Shafa. Bersyukur dengan respons yang diterima, Rasul Allah lantas berterus-terang. "Ketahuilah sesungguhnya Aku seoarang pemberi peringatan kepada kalian daripada seksa yang pedih." Gerunkah kita andainya kita menjadi saksi peristiwa itu? Seruan pertama dakwah secara terbuka dimulakan dengan ancaman keras. Congaklah, jika Abu Lahab yang bangun menempelak seruan Rasul Allah ketika itu, siapa pula 'fotokopi' baginya zaman ini? Kebencian terhadap Baginda tidak tehenti di situ. Satu lorong di Mekah menjadi saksi Rasul Allah pulang ke rumah dengan kepala yang kotor ditabur pasir. Seorang anak perempuan Nabi menangis sambil mebersihkan kotoran itu tetapi Rasul Allah berkata: "Wahai anakku, janganlah kau menangis! Sesungguhnya Allah melindungi ayahmu" Pilu bukan hati seorang anak apabila ayahnya dihina sebegitu rupa? Lebih pilu apabila ayahnya langsung tidak mengeluh malah berasa mesra dengan dugaan Allah itu.

Bahagian ini amat sukar dicoretkan. "Ketika orang-orang sedang melakukan solat subuh berjemaah pada hari Isnin, tiba-tiba kain penutup di kamar Aisyah tersingkap dan Rasulullah muncul dari baliknya lalu memandang mereka yang sedang berbaris dalam solat, kemudian Baginda tersenyum manis, sehingga Abu Bakar mundur mempersilakan Baginda menjadi imam dan orang orang pun nyaris membatalkan solat mereka kerana gembira menyaksikan kehadiran Rasulullah, tetapi beliau mengisyaratkan dengan tangannya agar mereka terus menyelesaikan solat mereka, kemudian Baginda pun masuk kembali ke dalam kamar dan melabuhkan kain penutup". Ditakdirkan Allah, itulah pandangan terakhir Baginda kepada sahabat dan umatnya. Allah telah menghendakki bahawa pandangan terakhir Baginda kepada umat Baginda ialah ketika mereka SOLAT! Kehendak Allah telah menentukan bahawa SOLAT merupakan wasiat terakhir Baginda! Wahai saudaraku, ingatlah pesan terakhir yang ditinggalkan Rasul Allah kepada kita dengan rasa redha dan senyuman yang manis; solat. Ya SOLAT.
الصلاة يا امة محمد

Thursday, August 30, 2007

LAPORAN DAURAH KITAB ‘AYYUHAL WALAD’ 2007

LAPORAN DAURAH KITAB ‘AYYUHAL WALAD’ 2007

Pada 23 hingga 25 Ogos 2007 Badan Pembangunan Insan Perubatan Mesir dengan kerjasama Unit Pembangunan Insan Perubatan Chapter Iskandariah telah menganjurkan daurah kitab ayyuhal walad sempena cuti musim panas.Program ini disertai oleh 59 pelajar perubatan ikhwah akhwat dari Kaherah,Iskandariah,Tanta dan Mansurah.Daurah kitab tersebut dikendalikan oleh ustaz Fuad Bin Amran, pelajar Darul Ifta’ Mesir. Program diadakan bagi memantapkan thaqafah islam dan mengukuhkan ukhwah islamiah di kalangan pelajar-pelajar perubatan dari muhafazah-muhafazah yang berbeza di bumi Mesir ini.

Kitab ‘Ayyuhal Walad’ dikarang oleh Al Imam Zainuddin Hujjatul Islam Abi Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali.Kitab ini merupakan surat dikarang oleh Imam Ghazali bagi menjawab pertanyaan anak muridnya dan dijadikan panduan oleh muridnya dan setiap penuntut ilmu yang berada di atas jalan menuntut ilmu.Antara perkara yang diminta oleh anak muridnya ialah nasihat-nasihat dan doa dari imam ghazali untuk dipegang oleh anak muridnya sepanjang hidupnya.

Antara nasihat yang diberi oleh Imam Ghazali ialah nasihat yang paling baik adalah nasihat-nasihat dari firman Allah dan hadis Rasulullah S.A.W.Selain itu ilmu-ilmu yang telah dipelajari perlu disertai oleh amal kerana walaupun sebanyak mana ilmu yang telah dipelajari tidak berguna sedikitpun tanpa amal.Syurga yang dijanjikan oleh Allah tidak akan dapat dikecapi oleh seseorang tanpa rahmat dan amal taat pada Allah taala.Nafsu yang ada dalam diri seseorang manusia perlu dilatih agar taat pada segala perintah allah dan tidak terpengaruh dengan nikmat hidup di dunia ini.Seseorang mukmin yang ingin menuju jalan kesufian perlu ada seorang guru mursyid yang mampu mendidik dan membimbing jiwa manusia dengan mengeluarkan segala akhlak yang buruk dan memasukkan akhlak yang baik dalam jiwa manusia.

Ustaz Fuad juga memberi peringatan kepada para peserta agar memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk kemudahan umat islam.Peserta diperingatkan agar menjadikan setiap pakaian yang dipakai sewaktu bekerja sebagai pakaian takwa kepada Allah taala. Selain daripada menghuraikan isi daripada kitab Ayyuhal Walad,ustaz Fuad juga menyelitkan kisah-kisah para ulama terdahulu dan golongan salaful salleh bagi memberi motivasi kepada para peserta agar meningkatkan ibadah kepada Allah taala dan memberi pedoman bahawa jalan kesufian tidak akan dapat dicapai dengan membaca kalam-kalam yang hebat dari ulama terdahulu,tetapi perlu dicapai dengan mujahadah untuk mengawal hawa nafsu dan menghadirkan hati dalam setiap ibadah yang dilakukan

Pada hari terakhir diadakan sesi muhasabah bagi melihat apa yang respons para peserta terhadap program ini. Selain itu juga Abang Munir telah memberi sedikit kalam taujihat kepada para peserta sebagai motivasi kepada kami semua untuk terus menunjukkan kesungguhan dalam menuntut ilmu agama.

Saya berharap agar program ini dapat dijalankan pada setiap tahun dan dijadikan titik tolak kepada pelajar perubatan di bumi mesir ini bagi mengutip setiap permata ilmu yang terdapat di bumi ini samaada ilmu perubatan atau ilmu agama.Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan dan komitmen dalam menjayakan program ini.

Disediakan oleh,
TENGKU MUHAMMAD FAKHRUDDIN
Setiausaha
Daurah Alex ‘07