Thursday, December 20, 2007

Perutusan Aidil Adha Presiden PERUBATAN 1428 H.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur sama-sama kita panjatkan kehadrat Allah Subhanahu wataala, di atas nikmat Iman dan Islam yang masih kita kecapi pada hari ini. Puji dan syukur kita panjatkan, kerana masih lagi memberikan kita peluang untuk meneruskan ketaatan kita sebagi hambaNya yang seba lemah. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasalam, para sahabat dan ahli keluarga baginda.



Allahu Akbar... Allahu Akbar... Allahu Akbar...



Alhamdulillah...



Tanggal 10 Zulhijjah kembali menemui kita, suatu tarikh kebesaran bagi semua yang bergelar muslim, untuk sama-sama menyambut dan meraikan hari tersebut, sebagai memperingati suatu peristiwa besar, kisah ketaatan dan ubudiyyah, manifestasi kecintaan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihima Salam kepada Rabb mereka. Apabila Nabi Allah Ibrahim menghadapi dilema, antara perintah Allah untuk mengorbankan, menyembelih anaknya tercinta, dan rasa kasih dan sayangnya kepada anaknya itu, sebagaimana yang diceritakan kembali oleh Allahu Subhanahu Wataala melalui firmanNya:



Nabi Ibrahim berkata, Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu: maka fikirkanlah apa pendapatmu?(Surah Soffat :102)



Namun ketika itu tampil Nabi Ismail untuk menjelaskan kekalutan ayahandanya dengan menegaskan,



“Jalankanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” (Surah Soffat:102)



Suatu jawapan yang jelas menunjukkan bahawa, tiada apa yang ingin dikejar dalam kehidupan di dunia ini selain redha dan ketentuan daripada Allah yang Maha Besar. Tanpa memikirkan nyawanya yang akan dicabut pergi, hilangnya dirinya dari kehidupan di dunia ini, baginda sanggup melaksanakan arahan Allah Subahunahu Wataala dengan penuh taat dan redha. Kepatuhan seorang hamba kepada tuannya.



Sahabat-sahabat warga PERUBATAN yang dikasihi sekalian.



Justeru, di sini marilah kita insafi. Ayuh kembali menghisabi diri, Sejauh mana kita telah melaksanakan tujuan kita berada di bumi Allah ini. Sebagai hambanya yang lemah, sebagai khalifahnya dalam memakmurkan bumi ini dan menegakkan kalimahNya di sini. Sejauh mana usaha, gerak kerja dan pengorbanan kita untuk deen yang tercinta ini. Sama-samalah kita renung dan hitung-hitung sendiri. Kita tidak tahu selama mana lagi kita mampu untuk bernafas, hidup di muka bumi ini mencurahkan bakti. Kerana mati tidak syaratnya sakit ataupun tua, sedang buah di pohonan tidak semuanya gugur setelah buruk dan tua. Walau masih putik tetap gugur ke bumi jika sudah menjadi ketentuanNya. Sememangnya kita tidak pernah meminta untuk dilahirkan ke dunia ini. Namun, sekali kita diciptakan oleh Allah Subhanahu Wataala, biarlah seumur kehidupan kita ini adalah untuk Islam dan pada jalan yang diredhaiNya.



Tuntutlah ilmu dengan tekun dan sabar, tambahlah ilmu-ilmu agama terutamanya yang asas dan fardhu ain bagi menyediakan kita menghadapi hari-hari mendatang yang pastinya menjanjikan cabaran dan dugaan yang lebih besar. Kita sering dilaungkan dengan gagasan Islam Hadhari, Cemerlang, Gemilang, Terbilang dan sebagainya, namun sejauh mana usaha yang telah kita laksanakan untuk merealisasikan hasrat tersebut? Carilah kefahaman dalam beragama kerana hanya mereka yang dikasihi dan diberikan hidayah oleh Allah yang akan diberikan kelebihan dalam memahami agama yang suci ini, dan sememangnya tiada apa yang menghalang untuk kita sama mencari,mendamba dan memburu hidayah daripada Allah itu.



“Jika Allah mengkehendaki kebaikan kepada seseorang itu, akan diberikannya kefahaman di dalam beragama”(Hadith)



Di kesempatan ini juga saya ingin menyeru sahabat-sahabat untuk kita kembali mengingati firman Allah Subhanahu Wataala dalam kita menjaga nilai kesatuan yang ada sebagaimana firmanNya,



“Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah” (Ali Imran:103)



Jadikanlah PERUBATAN ini sebagai medan untuk kita sama-sama bersatu, memajukan diri dan membantu orang lain untuk mencapai tujuan yang sama, mencapai kecemerlangan sebagai seorang pelajar perubatan muslim di dunia dan akhirat. Jauhilah sikap ‘tidak pedulisme’ dalam diri sehingga hanya melihat apa yang berlaku kepada diri kita tanpa sedikitpun memikirkan orang lain di sekeliling atau yang jauh dari kita. Berikanlah sumbangan, cadangan dan teguran yang membina untuk kemaslahatan bersama.



“Bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan”(Al Maidah:2)



Sahabat-sahabat yang dikasihi,



Akhirnya, saya menyeru sahabat-sahabat untuk kembali mengamal dan menghayati nilai-nilai Islam dalam kehidupan dan muamalat kita seharian. Perbanyakkanlah amal ibadah dan zikir kepadaNya dalam memberikan kita kekuatan dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan dalam kehidupan ini. Letakkanlah pertimbangan halal dan haram sebagai suatu perkara yang penting untuk kita ambil kira dalam apa jua amal buat yang kita lakukan sehari-hari. Ingatkanlah diri betapa matlamat redha dan kehidupan akhirat yang kekal abadi adalah hadaf dan tujuan yang sama-sama kita tuju.



“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu di dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikut petunjuk syaitan”



Begitu jugalah saya mengharapkan agar sahabat-sahabat PERUBATAN di semua peringkat, tua muda, jauh dekat, samada di Kaherah mahupun di cawangan untuk kembali bersatu di atas nilai ini. Moga kesatuan kita hari ini mendapat petunjuk dan hidayah daripadaNya dan diberikan ruang yang luas untuk melaksanakan amal jama’ei bagi kecemerlangan PERUBATAN khususnya dan Islam amnya.



Selamat Hari Raya aidil adha, ‘kullu sanah wa antum toyyibun’, maaf zahir dan batin. Moga rahmatNya sentiasa memayungi hari-hari yang kita lalui.



Wassalam,

Presiden PERUBATAN


1 comment:

Anonymous said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Estabilizador e Nobreak, I hope you enjoy. The address is http://estabilizador-e-nobreak.blogspot.com. A hug.