Tuesday, November 27, 2007

Inni Akhafullah

Bilangan 33 : 06 ZULKAEDAH 1428H Bersamaan 18 NOVEMBER 2007M
Oleh: Sharifah Nur Hidayah Syed Murzaki, Tahun 2,Universiti Kaherah

Risalah kebenaran yang dibawa oleh Junjungan Besar S.A.W. telah melahirkan satu generasi manusia; generasi sahabat yang tiada galang gantinya. Walaupun terdapat juga beberapa tokoh peribadi tertentu dalam sejarah, tetapi tidaklah lahir satu golongan besar manusia seperti mereka. Mereka memberi contoh yang jelas mengenai hakikat perhambaan yang tinggi kepada Allah. Lihatlah Bilal bin Rabah yang mempertahankan akidahnya dari tergadai, iman Abu Bakar yang melebihi iman seluruh umat Muhammad. Subhanallah.

Perasaan “Aku takutkan Allah” itu seharusnya menjadi perasaan yang sebati dan sentiasa menjalar dalam diri kita sebagai seorang muslim mukmin yang mengaku beriman. Andai kita kupas kembali sirah Rasulullah S.A.W. kita juga dapat lihat sifat khauf ini dalam diri baginda.


Baginda pernah bersabda:
“Akulah orang yang paling takut pada Allah dari kalangan kamu”



“Terlalu banyak kita minta,
namun
sebanyak mana yang kita beri?”




Mari sama-sama renungi hari-hari yang berlalu. Istiqamahkah kita mengingati-Nya? Terlalu banyak kita minta namun sebanyak mana yang kita beri? Justeru, layakkah kita untuk merebut syurga? Penyerahan diri dan jiwa kepada Allah itulah sebaik-baik pemberian dalam ubudiyyah. Lihat sahaja pada peribadi junjungan mulia; bersih jiwanya, matanya sentiasa berlinangan memikirkan dirinya di sisi Allah. Banyak persoalan yang sentiasa berlegar di kepala baginda. ‘Layakkah bagiku syurga dan mampukah diriku menempuh neraka jahannam.’ Rasulullah juga pernah berdoa:

“Ya Allah, kurniakanlah kepadaku dua biji mata yang mudah mengalirkan air mata, yang dapat menyembuhkan hati dengan linangan air matanya kerana takut kepadaMu (Perkenankanlah permohonanku,ya Allah) sebelum mengalir air mata darah”


Justeru, apa kelebihan mereka yang takutkan Allah ini?! Hingga darjat mereka ini diangkat dan dimuliakan Allah. Jika ingin mencari buktinya, Rasulullah sendiri sebaik-baik qudwah. Keperibadian Rasulullah adalah hasil dari takutkan Allah. Namun kita sebagai insan yang lemah, sering lupa diri, suka merasa diri mulia. Sikap superior inilah perosak iman dan takwa. Inilah yang harus dikikis dan dikoreksikan.

Di samping itu, orang yang takutkan Allah akan sentiasa menjaga perilakunya agar dirinya tidak menjadi fitnah kepada Islam. Jika betul wujud sifat khauf dalam diri, perintah Allah pantas dipatuhi dan ditakuti kerana tidak mahu mengundang murkaNya.

Ibnu Abbas R.A. pada suatu ketika ditanya, siapakah orang-orang yang takut kepada Allah. Beliau menjawab, “Mereka ialah orang-orang yang gembira hatinya dengan rasa takut. Mata mereka sentiasa basah berlinang .” Bagaimana kita boleh bersukaria sedangkan maut dibelakang kita dan kubur di hadapan kita? Qiamat hari perjanjian kita bertemu. Pilihan kita hanya dua; ke syurga atau ke neraka. Tidak berapa lama lagi kita akan diadili di hadapan Tuhan kita!
Hati yang beriman adalah hati yang sentiasa mencintai Allah hinggakan yang lain tidak menjadi perhatian. Cinta padaNya akan melahirkan kedamaian dan ketenteraman.

“Ketahuilah, dengan zikrullah tenang tenteramlah hati manusia” (Ar-Ra’d : 28)

Hakikatnya, muslim mukmin yang mempraktikkan ilmunya itu ibarat permata yang memancar dan indah kilauannya. Ia berseri dan mampu menyerikan insan lain.
Cantik dan mampu mencantikkan sesiapa sahaja yang bersamanya, tatkala berada di dalam lumpur, kilauannya tetap jelas terpancar, apatah lagi jika berada bersama-sama di dalam timbunan permata. Pancaran sinar suci itu bisa memukau pandangan-pandangan nista yang menusuk kalbu, mencairkan satu keangkuhan. Namun, untuk menghasilkan sebutir permata, apa mungkin sama dengan pembuatan kaca? Tentunya tidak.



“ ..Pancaran sinar suci itu
bisa memukau
pandangan—pandangan
nista yang menusuk kalbu..”




Semoga kita mampu menjadi permata itu; permata deen Allah. Berdoalah pada Allah untuk itu, berusahalah bersungguh-sungguh, moga kita bermanfaat untuk ISLAM.
Akhirul kalam, sama-sama kita realisasikan dan hayati seruan Allah dalam firman di bawah ini dan bukan hanya meniti di bibir ketika solah. Sama-sama banyakkan menangis memohon keampunan kerana setiap detik kehidupan kita pasti ada sahaja dosa yang mengiringi.



Firman Allah S.W.T.:
" Katakanlah; sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah seluruh alam. Tiada sekutu baginya dan demikian itulah disuruh dan aku orang-orang Islam yang pertama. "
(Al-An’am:162-163)

No comments: