Tuesday, April 3, 2007

KEMPEN AKHLAK MULIA

Bilangan 21 : 4 Rabiul Awal 1428H bersamaan 23 Mac 2007M

Oleh: Ahmad Muhaimin Mustapha, Tahun Lima, Kuliyah Perubatan Universiti Kaherah

KEMPEN AKHLAK MULIA

“Tidak ada yang lebih berat dalam mizan seorang hamba mukmin pada hari akhirat daripada akhlak yang mulia, Allah murka orang yang bercakap kotor dan tidak elok”. (Riwayat Tirmizi)
Akhlak merupakan satu elemen penting dalam pembinaan peribadi muslim. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak” (Riyawat Imam Malik). Sebagai muslim, akhlak mulia seperti tolong-menolong, murah senyuman, memuliakan tetamu, menghindari kedekut, takabbur dan sebagainya sememangnya sudah diketahui umum. Namun dalam mempraktikkan dalam kehidupan seharian terkadang kita sering terlupa dan perlu sentiasa didorong oleh rangsangan luar agar sentiasa termotivasi untuk mengamalkannya.
Nabi SAW telah memberi teladan yang terbaik dalam hal ini hinggakan baginda SAW dipuji oleh Allah SWT dalam firmanNya: ”Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia” (Surah al-Qalam, ayat 4). Baginda SAW walaupun ditarbiah secara langsung oleh Allah Ta’ala, namun masih lagi berdoa agar sentiasa berkeperibadian mulia. Doa baginda SAW: “Ya Allah perelokkanlah akhlakku dan kejadianku” (Riwayat Imam Ahmad).
Dalam kerangka membina generasi rabbani dalam masyarakat PERUBATAN, Biro Pembangunan Insan (BPI) ingin mengajak sahabat-sahabat bersama-sama merealisasikan kempen Akhlak Mulia yang akan diwacanakan sepanjang tahun. Bagi kali yang pertama ini BPI merangka 3 kempen serentak iaitu “AYUH SOLAT JEMAAH”, ”JOM SEDEKAH” DAN “IKHTILAT SIFAR”. Kempen Akhlak Mulia ini menggabungkan konsep amar maaruf dan nahi mungkar secara serentak agar sesuai dengan tuntutan Islam yang bukan hanya sekadar mengajak umatnya melakukan kebaikan bahkan mencegah perbuatan mungkar daripada berleluasa. Bertepatan dengan nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya “Wahai anakku dirikanlah solat dan suruhlah orang membuat yang maaruf (yang baik) dan laranglah (membuat) yang mungkar (haram) serta sabarlah atas cubaan yang menimpa engkau, sesungguhnya demikian itu perkerjaan yang dicita-citakan”. (Surah Luqman, ayat 17)

AYUH SOLAT JEMAAH ….


Solat berjemaah disyariatkan selepas hijrah. Pembinaan Masjid Nabawi setibanya Rasulullah saw di Madinah menunjukkan betapa besar peranannya dalam merealisasikan masyarakat Islam. Ulama’ khilaf dalam menbicarakan hukum solat berjemaah. Bagi mazhab Maliki dan Hanafi hukumnya sunat muakkad, mazhab Syafie berpandangan ianya fardu kifayah manakala bagi mazhab Hanafi hukumnya wajib. Betapa besarnya tuntutan berjemaah hinggakan Allah Ta’ala menyuruh ianya ditunaikan walaupun dalam keaadan takut semasa dalam peperangan (solat khauf), menggambarkan kepada kita bahawa dalam keadaan aman ianya lebih aula untuk dilaksanakan.

Banyak hadis yang menerangkan kelebihan solat berjemaah berbanding dengan solat bersendirian, mari sama-sama kita renungkannya:

Daripada Ibnu Umar r.a, sesungguhnya rasulullah saw bersabda: “Solat berjemaah lebih afdal daripad solat bersendirian dengan 27 kali ganda darjatnya”. (muttafaqun ‘alaih)
-
Abu Hurairah ra berkata, seorang lelaki buta datang berjumpa dengan nabi SAW dan berkata : “Wahai Rasulullah, saya tidak ada penunjuk jalan untuk memimpinku ke masjid”, seraya meminta rukhsah daripada Rasulullah SAW untuk diringankan baginya solat berjemaah dengan hanya solat bersendirian di rumah, maka nabi SAW memberikan keringanan kepadanya. Apabila dia berpaling nabi SAW memanggilnya kembali dan bertanya: “Adakah kamu mendengar seruan solat (azan)?” Jawab lelaki tersebut: “Ya!”, sabda Nabi SAW: “Maka hendaklah kamu menyahutnya (datang solat berjemaah)”. (Riwayat Muslim)

Ibn Masud ra berkata: ”Sesiapa yang suka untuk bertemu dengan Allah dengan selamat sejahtera, hendaklah dia memelihara solat yang difardukan (di mana dan bila mana) diseru dengan solat tersebut. Kerana Allah telah mensyariatkan kepada nabi kamu SAW jalan-jalan petunjuk, sesungguhnya solat 5 waktu berjemaah tadi merupakan jalan pertunjuk. Sekiranya kamu menunaikan solat di rumah-rumah kamu sebagaimana orang-orang yang berpaling (dari sunah nabi SAW), pasti kamu meninggalkan sunnah nabi kamu. Seandainya kamu meninggalkan sunnah nabi kamu pasti kamu sesat. Sesungguhnya saya berpandangan (keadaan masyarakat pada masa saya) tidaklah meninggalkan solat jemaah melainkan orang munafik yang jelas kemunafikkanya. Sehinggakan ada seorang lelaki yang di bawa dalam keadaan dipapah oleh dua orang laki-laki untuk dia berdiri dalam saf (solat berjemaah)”. (Riwayat Muslim)

Hikmah berjemaah terlalu banyak, antaranya ialah untuk memupuk perasaan kebersamaan sesama muslim, saling berkenalan, tolong-menolong, menanamkan perasaan kasih sayang, merapatkan ukhuwwah tanpa membezakan darjat, membina perpaduan dan sebagainya. Sempurnakan solat, Allah akan sempurnakan segala kehidupan kita! “Dirkkan solat dengan tekun, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Al-Ankabut, ayat 45)

JOM SEDEKAH…

Sedekah memang senang untuk disebut tapi berat tangan untuk menghulur. Allah menjanjikan ganti yang lebih baik di atas setiap harta yang dikeluarkan untuk membantu sesama Islam, sama ada dalam bentuk sedekah wajib iaitu zakat atau sedekah sunat. Ringan-ringankanlah tangan dalam membantu saudara seagama yang fikir miskin, anak-anak yatim dan pejuang-pejuang Islam di mana sahaja.
Sirah telah menukilkan cerita sahabat-sahabat nabi SAW sentisa berlumba-lumba untuk menginfakkan harta mereka, sehinggkan ada yang berasa keluh kesah kerana tidak ada harta untuk disedekahkan. Bandingkan dengan diri kita hari ini, mungkinkah cinta kepada harta dunia telah menghalang tangan kita untuk memberi? Renungkan firman Allah SWT:

“Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah maha luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya” (surah al-Baqarah, ayat 261)

Sedekah bukan dengan hanya mengeluarkan harta berbentuk material, Islam telah meluaskan pemahaman erti sedekah ini. Kalimah yang baik, tidak menyakiti sesama manusia, zikrullah, menyalurkan nafsu mengikut salurannya, berbelanja dengan hasil yang halal, mengadakan jamuan kepada tetamu lebih dari tiga hari, menanam pokok, bermanis muka dan sebagainya termasuk dalam pengertian sedekah. Ruangan yang sempit ini tidak memungkin untuk dinukilkan segala bentuk sedekah menurut perspektif Islam, namun mari sama-sama kita mengambil iktibar dari beberapa hadis Nabi SAW berkenaan dengan sedekah.

Abu Hurairah ra berkata: bersabda nabi SAW: “Tiap-tiap sendi manusia itu ada sedekahnya pada tipa-tiap hari terbit matahari: engkau berlaku adil di antara dua orang adalah sedekah, engkau menolong seseorang naik ke atas kenderaanya adalah sedekah atau engkau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, tiap-tiap langkah yang dia berjalan menuju tempat solat adalah sedekah, membuang sesuatu yang dapat membahayakan di jalanan adalah sedekah” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Sebahagian daripada sedekah itu ialah kamu memberi salam kepada manusia sedangkan kamu bermanis muka” (Riyawat Ibnu Abi Dunya)

“Setiap pagi dituntut sedekah ke atas setiap sendi tulang seseorang: maka setiap tasbih adalah sedekah dan setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh berbuat kebaikan dan mecegah kemungkaran adalah sedekah. Dibalas (memadai) sekelian pahala tersebut itu di dalam dua rakaat Solat Dhuha yang dia kerjakan”. (Riwayat Imam Muslim)

IKHTILAT SIFAR….

Isu yang sememangnya hangat untuk generasi remaja. Apabila disebut perkataan ikhtilat, lazimnya kita terbayang bahawa hukumnya haram. Bukan semua ikhtilat haram, pemahaman yang jelas terhadap konsep ini perlu agar tidak disalah tafsirkan. Apa yang BPI PERUBATAN ingin bawakan kepada ahli ialah untuk menghapuskan secara tolal ikhtilat yang tidak syarie’ dalam masyarakat PERUBATAN. Awal-awal lagi Islam mecegah segala wasilah yang boleh membuka kepada percampuran, pergaulan dan hubungan yang tidak berlandaskan syariat antara lelaki dan perempuan. Firman Allah Ta’ala :

"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkat-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…" (al-Ahzab : ayat 32,33)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (dosa ke atasmu)”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh bersunyi seseorang daripada kamu dengan perempuan dan tidak boleh bermusafir seorang perempuan melainkan bersama mahramnya”.

(Untuk pendetailan menganai ikhtilat bolehlah dirujuk kepada kertas kerja yang dibentangkan sempena pelancaran kempan Aklhak Mulia ini)

JOM SAMA-SAMA BERAMAL

Islam itu simple dan mudah. Cuma untuk amal sesuatu perkara kita diduga oleh hawa hafsu untuk tangguh, tangguh dan tangguh… akhirnya semuanya tidak terlaksana. Ayuh bersama-sama kita rajinkan diri ke masjid, ringankan tangan untuk bersedekah dan sifarkan ikhtilat dalam kehidupan kita. Dah tahu jom amal…!!
Daripada ibni Abbas r.a daripada nabi SAW bersabda: “Barang siapa berpegang teguh (menghidupkan) sunnahku di ketika rosaknya umakKu maka baginya pahala seratus orang syahid”. (Hadis riwayat Imam Baihaqi)


Rujukan :
Berpegang Teguh dengan Kitab dan Sunnah – Syeikh Muhammad Nuruddin
Akhlak Tobib – Muhammad bin Lutfi as-Sobbaghi
Mau’izah Mukmin – Imam al-Ghazali
al-Fikh al-Islami wa adillatuhu – Dr Wahbah Zuhaili
Sedekah menurut Perspektif Islam - Syeikh Muhammad Nuruddin
Riyadus as-Solihin – Imam Nawawi


“Sudah berapa lama anda hidup? Pernahkah anda berazam untuk benar-benar jadi baik?” Dr HM Tuah Iskandar al-Haj.


No comments: