Tuesday, April 3, 2007

Misi dan Visi Perutusan Nabi Muhammad SAW

Bilangan 22 : 11 Rabiul Awal 1428H bersamaan 2007M

Oleh : Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin, Tahun Empat, Kuliyah Perubatan, Universiti Ain Shams.
Ketua Biro Pembangunan Insan, PERUBATAN.


Muhammad Rahmat Seluruh Alam.


Ketika cahaya tauhid padam di muka bumi, maka kegelapan yang tebal hampir saja menyelimuti akal. Di sana tidak tersisa orang-orang yang bertauhid kecuali sedikit dari orang-orang yang masih mempertahankan nilai-nilai ajaran tauhid. Maka Allah SWT berkehendak dengan rahmat-Nya yang mulia untuk mengutus seorang rasul yang membawa ajaran langit untuk mengakhiri penderitaan di tengah-tengah kehidupan. Dan ketika malam mencengkam, datanglah matahari para nabi. Kedatangan Nabi tersebut sebagai bukti terkabulnya doa Nabi Ibrahim as kekasih Allah SWT, dan sebagai bukti kebenaran berita gembira yang disampaikan oleh Nabi Isa as.

Allah SWT menyampaikan salawatnya kepada Nabi itu, sebagai bentuk rahmat dan keberkahan. Para malaikat pun menyampaikan salawat kepadanya sebagai bentuk pujian dan permintaan ampunan, sedangkan orang-orang mukmin bersalawat kepadanya sebagai bentuk penghormatan. Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Al-Azhab: 56)

Sebelumnya Allah SWT mengutus para nabi-Nya sebagai rahmat kepada kaum dan zaman mereka saja, namun Allah SWT mengutus beliau saw sebagai rahmat bagi alam semesta. Beliau saw datang dengan membawa rahmat yang mutlak untuk kaum di zamannya dan untuk seluruh zaman. Allah SWT berfirman, "Dan aku tidak mengutusmu kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta."

Hakikat dakwah para nabi sebelumnya adalah menyebarkan Islam, begitu juga ajaran yang dibawa oleh Nabi yang terakhir adalah Islam. Beliau saw adalah Muhammad bin Abdillah bin Abdul Muthalib, anak seorang wanita Quraisy. Beliau saw adalah pemimpin anak-anak Nabi Adam as. Beliau saw adalah hamba Allah SWT dan Rasul-Nya, serta rahmat Allah SWT yang dihadiahkan kepada umat manusia.

Revolusi yang dibawa Nabi Muhammad..

Kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasalam adalah sebenarnya membawa beberapa bentuk revolusi kepada kehidupan manusia. Jika sebelum ini masyarakat jahiliah hidup dalam keadaan yang lebih bermatlamatkan kuasa, harta dan kedudukan namun dengan kehadiran Islam perkara-perkara ini telah diubah oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam. Sekurang-kurangnya terdapat tiga revolusi utama yang dibawa oleh Rasulullah sepanjang usaha baginda menyebarkan agama Islam iaitu revolusi kehidupan, kemanusiaan dan aqidah kepada Allah SWT.

Revolusi pertama ialah revolusi kehidupan. Iaitu dengan menghubungkaitkan dan menjelaskan kepada umat manusia bahawa kehidupan mereka bukannya hanya akan berakhir di dunia dengan kematian namun tetap akan kembali dibangkitkan untuk dihitung amal perbuatan mereka ketika di dunia di padang mahsyar dan seterusnya akan ditentukan nasib mereka samada akan ke syurga ataupun neraka. Segala amal perbuatan mereka di dunia, semuanya akan ditimbang dengan seadilnya oleh Allah SWT diakhirat kelak. Baginda meletakkan pemikiran kepada sahabat-sahabat baginda ini bahawa sekiranya seseorang itu tidak mendapatkan bahagiannya di dunia, maka dengan izinNya, mereka akan mendapatkan hak dan bahagian mereka di akhirat nanti. Begitu juga sebaliknya.

Suatu contoh yang boleh dibawa di sini bagaimana dalam suatu peristiwa, terdapat suatu perebutan dan perkelahian antara seorang badwi dengan seorang sahabat baginda tentang pemilikan sebuah tanah. Tanah yang didiami oleh si badwi tadi sekian lama akhirnya dituntut oleh sahabat baginda ini dengan mangatakan bahawa tanah itu adalah kepunyaannya. Kes tersebut telah dibawa kehadapan Rasulullah dan baginda mendengarkan hujah daripada kedua-dua belah pihak. Namun kerana kurang ilmunya dan tidak petahnya si badwi ini berkata-kata maka Rasulullah terpaksa membuat keputusan untuk menyerahkan tanah tersebut kepada sahabatnya yang lebih yakin hujah dan kata-katanya. Namun sebelum menjatuhkan keputusan, Rasulullah telah mengajarkan kepada kedua-dua sahabatnya ini dengan mengatakan bahawa mereka yang dirampas haknya di dunia ini maka akan dikembalikan haknya di akhirat kelak dan sebaliknya barangsiapa yang berlaku zalim merampas hak orang lain di dunia ini maka akan diazab dan diseksa diakhirat kelak sehinggalah sahabatnya tersebut telah mengembalikan tanah tersebut kepada si badwi tadi. Begitulah nilai hubungkait dunia dan akhirat yang dibawa oleh Nabi Muhammad dalam mentarbiyyah umat baginda.

Revolusi kedua yang dibawa oleh Nabi Muhammad kepada umat Islam juga adalah revolusi kemanusiaan di mana baginda meletakkan semua manusia ini adalah sama sahaja di sisi Allah SWT melainkan ketaqwaan kepadaNya. Firman Allah SWT.

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu. (Al Hujuraat:13)

Begitu juga, baginda sentiasa mengingatkan kepada umatnya bahawa tiada lebihnya bangsa arab berbanding bangsa-bangsa lain di dunia ini, tiada lebihnya orang yang berkulit cerah berbanding mereka yang berkulit gelap dan tiada lebihnya orang kaya berbanding orang-orang yang miskin, semuanya tidak dinilai dan dibezakan oleh Allah kecuali rasa takwa kepadanya. Memperlihatkan kepada kita suatu nilai tentang betapa adilnya ajaran Islam yang di bawa oleh baginda. Suatu nilai dimana semua orang pun mampu untuk berusaha dan bekerja mendapatkannya untuk mendapatkan kemuliaan di sisi Allah SWT iaitu ketakwaan kepadaNya yang tidak dilihat dan didapati daripada agama-agama yang lain.

Selain itu, revolusi ketiga yang diperkenalkan oleh baginda Rasulullah adalah revolusi aqidah dengan meletakkan bahawa Allah lah satu-satunya tuhan yang wajib disembah dan wajib ditaati. Membuang rasa sayang dan bertuhankan harta di hati masyarakat ketika itu, Firman Allah SWT

Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut” (An-Nahl 16: 36)

Suatu contoh yang dibawa oleh Rasulullah bagaimana isterinya Saidatina Khadijah, suatu ketika dahulu, merupakan seorang yang cukup kaya, hartawan dan jutawan yang cukup terkenal di kalangan bangsa quraish. Namun setelah baginda dibangkitkan sebagai rasul, semua harta Khadijah telah dibelanjakan dalam memperjuangkan agama Allah sehingga beliau menjadi miskin. Namun itulah nilai yang cuba diajarkan oleh baginda Rasulullah, meletakkan harta benda di dunia ini adalah tiada nilainya melainkan dibelanjakan di jalan Allah yang akhirnya akan dibalas oleh Allah di akhirat kelak. Dan nilai-nilai inilah yang diterapkan ke dalam hati para sahabat yang sehingga dikhabarkan bahawa Othman telah membelanjakan separuh daripada hartanya untuk suatu peperangan di zaman Rasulullah. Sementara Abu Bakar telah membelanjakan semua daripada harta bendanya untuk peperangan tersebut. Lalu apabila ditanya kepada beliau tentang apakah yang ditinggalkan oleh beliau untuk anak isterinya, lalu dijawab oleh beliau, “Allah dan RasulNya” Justeru perlunya kita mengambil iktibar daripada pengajaran Rasulullah ini.

Sahabat-sahabat yang dikasihi fillah,

Begitulah antara revolusi-revolusi yang dibawa Rasulullah dalam membawa ajaran Islam kepada umatnya sehingga Islam dikenali sebagai sebuah agama yang cukup syumul dan merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Moga semangat dan perjuangan yang telah dirintis oleh baginda ini akan dapat memberikan dorongan kepada kita untuk meneruskan kesinambungan perjuangan ini dengan menyampaikan ajaran Islam ini kepada seluruh manusia di dunia ini terutama kepada mereka yang berada di sekeliling kita.

Contohilah akhlak dan peribadi Rasulullah yang sememangnya kita ketahui adalah merupakan suatu contoh ikutan yang terbaik untuk dituruti. Bagaimana sikap dan pergaulan baginda dengan sahabat-sahabat baginda, bagaimana berhikmahnya baginda menyampaikan pengajaran dan nasihat dalam melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar kepada sahabat-sahabat dan bagaimana baginda bermuamalah dengan orang di sekeliling baginda. Firman Allah SWT.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (Al-Ahzab 33: 21)

Justeru, untuk akhirnya, sempena ulangtahun kelahiran baginda Rasulullah pada tahun ini, marilah kita soroti kembali kisah-kisah perjuangan yang telah dilalui oleh baginda dengan meneliti sirah kehidupan bagindan dan seterusnya menanam azam di dalam diri untuk bersama-sama meneruskan perjuangan menyebarkan Islam kepada umat Islam sendiri sehingga Islam dapat diamalkan dengan sempurna dan berjaya untuk mendapatkan redha Ilahi....InsyaAllah.

No comments: