Friday, September 7, 2007

Ahlan Bikum!!

Ahlan Bikum!!
Bilangan 24 : 18 SYAABAN 1428H Bersamaan 31 Ogos 2007M Oleh : Biro Pembangunan Insan PERUBATAN
Assalamualaikum w.b.t

Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikum kami ucapkan kepada adik-adik baru kuliah perubatan sesi 2007/2008. Semoga kehadiran kalian ke bumi yang penuh barakah ini akan menjadi tarbiyah dalam kehidupan untuk menghadapi lebih banyak rintangan dan dugaan di masa mendatang..Tidak lupa juga kepada senior-senior pelajar perubatan yang baru sahaja kembali dari tanah air,Ahlan Bikum!

Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata Nabi Yusuf kepada bapa dan ibu saudaranya tatkala baginda menjadi bendahara Mesir suatu ketika dahulu yang bermaksud “Masuklah kamu ke negeri Mesir dengan aman sentosa, jika Allah mengkehendaki”.. Surah Yusuf ayat 99...Nah,lihat sahaja di sekeliling kalian, walaupun bumi ini tidaklah sehijau dan sehebat negara kita, namun alangkah syukurnya kita di tempatkan di sini yang jauh dari peperangan, pembunuhan dan ancaman…Ini janji tuhan..mudahan-mudahan Dia melimpahkan rahmat seluas-luasnya kepada kita, bukan sahaja sebagai seorang pelajar, bahkan jua pejuang dalam menuntut ilmu perubatan sekaligus ilmu agama di sini...

Bagi adik-adik yang baru tiba, ambillah masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling, masyarakat, rakan-rakan..Memang tidak dinafikan, keadaan di sini agak lebih mencabar dan sangat berbeza dengan keadaan di Malaysia, bumi kesayangan kita..Namun, berfikiran positiflah selalu…Lihatlah segala ujian ini sebagai suatu latihan yang dapat meningkatkan lagi jati diri kita dan memantapkan mental juga fizikal sebelum menempuh alam pekerjaan sebagai seorang doktor yang jauh lebih mencabar..Ingat..kita adalah apa yang kita fikirkan!...Sungguh Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu terlebih dahulu berusaha untuk mengubah nasibnya sendiri…

Sempena program orientasi yang akan berlangsung selama tiga hari ini, kami pihak senior sangat berharap untuk mendekati adik-adik sebelum kalian berpindah ke hostel nanti…bagi adik-adik pula, gunakanlah kesempatan ini untuk mengetahui sebanyaknya samada tentang kehidupan di sini, teknik-teknik pembelajaran yang berkesan, sistem pendidikan dan banyak lagi perkara lain..Janganlah segan untuk bertanya..selagi kami mampu, InsyaAllah kami akan cuba untuk memberi penerangan yang sebaik mungkin..

Bagi kebanyakan universiti di Mesir, kuliah akan bermula pada 15 September 2007, iaitu sebaik sahaja puasa baru bermula…Istimewanya universiti-universiti ini adalah kerana tempoh pengajian sepanjang bulan Ramadhan disingkatkan untuk mengurangkan keletihan kaum muslimin menjalankan ibadah puasa sekaligus memberi kerehatan bagi mengerjakan terawih dan Qiamullail di sebelah malamnya…Inilah salah satu keuntungan belajar di sebuah negara yang masih mengekalkan dan menjunjung tinggi syiar-syiar Islam…Seolah-olah masa di bulan ini lebih banyak dihormati untuk melakukan kebaikan dan amal soleh sebanyak-banyaknya...
Adik-adik yang di sayangi sekalian,

Gunakanlah kesempatan usia muda ini untuk menggali ilmu sedalam-dalamya di tanah yang gersang ini…selagi tubuh masih kuat, selagi fikiran masih tajam, usia ini adalah kemuncak dalam kehidupan seseorang…Jadi, mengapa harus biarkan ianya berlalu sia-sia? Ingatlah, kita memikul amanah yang sangat berat. Duit kerajaan yang kita dapat bagi pelajar-pelajar yang mendapat tajaan, cuba bayangkan betapa banyak titis peluh para petani yang tercurah di sebaliknya…betapa banyak keringat yang mengalir dari rakyat negara kita, dan duit itu juga datangnya dari hasil jerih payah ayah dan ibu kita yang membayar cukai kepada kerajaan..sanggupkah kita menghampakan mereka..sanggupkah lagi kita bersenang-lenang atas kesusahan orang lain? Buatlah yang terbaik dalam pengajian yang bakal kalian tempuhi, jangan persiakan nikmat ini, jangan pernah cuba mencari alasan untuk tidak berjaya…kerana kita semua adalah sama, tiada siapa yang dilahirkan berjaya…segalanya harus bermula dari “tiada kepada ada”…Tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu!..

Haruslah diingat, dalam kita sibuk mengejar kuliah dan menimba ilmu, jangan pula kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai sahabat kepada sahabat yang lain…Jika sebelum ini kita punyai ibu dan ayah yang tidak lekang memberi nasihat dan semangat, namun kini kita jauh dari mereka…seharusnya seorang sahabat yang baik itu sentiasa membantu sahabatnya yang lain..janganlah hanya kita sahaja yang ingin berjaya…nasihatilah sahabat yang lain andai mereka tersalah langkah…tiada budaya “nafsi-nafsi” di dalam Islam, bahkan Allah menyuruh kita menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran…supaya kita menjadi ummat yang terbaik “Khoiril Ummah”…Fikirkan saja hikmahnya!

Akhir kata, kami amat mengharapkan kerjasama yang sebaiknya dari kalian sepanjang tahun ini dan tahun-tahun berikutnya dalam apa juga aktiviti yang akan dianjurkan oleh “PERUBATAN”…Moga kehadiran kalian akan menjadi penyeri kepada bumi mesir ini…
Wassalam

No comments: