Siapa Aku??
Bilangan 23 : 18 Rabiul Awal 1428H bersamaan 6 April 2007M
Oleh : Mohd Husmar Israq Husin, Tahun 4, Kuliyah Perubatan, Universiti Ain Shams
Bendahari Kehormat Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir
12 Rabiul Awal, tarikh ini begitu penting bagi penduduk dunia dan tanggal istimewa bagi umat Islam. Seorang lelaki telah dilahirkan bersama misi Iman dan Islam untuk dunia. Allah yang tidak dapat dilihat oleh manusia telah melantik satu jasad yang mampu dilihat oleh manusia malah daripada golongan manusia sendiri sebagai utusan. Muhammad (selawat ke atas Baginda), dengan gelaran 'terpuji' itu, baginda dibebankan oleh Allah untuk menyambung tugas yang ditinggalkan oleh Isa Putera Maryam.
'Akidah yang satu, namun dengan syariat yang sedikit berbeza berbanding utusan Allah sebelumnya', manusia perlu dikeluarkan daripada fenomena menyembah makhluk kepada menyembah Allah. Nafsu bukan lagi tuhan, tetapi Allah yang berhak diagungkan. Akal tidak akan pernah menewaskan akidah. Menikmati dunia bukan secara melulu tetapi sekadar perlu.
Tahukah anda baginda ialah manusia yang dipimpin oleh wahyu Allah? Tidak hairanlah mengapa dalam sesuatu ketika Baginda tidak akan bersabda selagi belum diwahyukan Allah. Selain itu, tidak seperti tokoh-tokoh lain di dunia, ditutup oleh Allah kepada Baginda pintu maksiat samada sebelum atau setelah kerasulan. Hal ini agar tiada keraguan walau secebis pun akan timbul dalam hati pengikutnya mahupun menjadi hujah oleh musuhnya.
Nabi pernah berdiri di atas mimbar kemudian bersabda: "Siapakah aku?" Para sahabat menjawab " Engkau adalah Rasulullah, semoga keselamatan ke atasmu." Nabi bersabda, "Aku ialah Muhammad bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk (manusia), kemudian Dia menjadikan mereka 2 kelompok, lalu menjadikan aku dalam kelompok yang terbaik, kemudian Dia menjadikan mereka beberapa kabilah dan menjadikan aku di dalam kabilah yang terbaik, kemudian Dia menjadikan mereka beberapa rumah, dan menjadikan aku di dalam rumah yang terbaik dan paling baik jiwanya." (Tirmidzi). Ini antara contoh nabi menceritakan perihal dirinya.
Sekarang, ketuklah pintu hati kita dengan soalan bagaimana untuk melahirkan cinta yang benar-benar dalam terhadap kekasih Allah? Hakikat bahawa kita berada dalam senarai penghujung pengikut Baginda tidak harus menjatuhkan semangat kita. Tiada cinta tanpa kenal, jangan cuba sangkal hakikat ini. Kisah sejarah Rasul Allah yang kita pelajari selama ini di sekolah2 mampu memberikan kita pandangan sekadar di permukaan sahaja. Akan tetapi keenakan menghayati 'hidup' baginda lebih terasa jika setiap kisah yang kita baca disertakan dengan nas yang sahih. Kita akan merasa sendiri seakan-akan Baginda hidup dan sedang berinteraksi di hadapan kita. Perhatikan hadith daripada Anas berikut: "Aku tidak pernah menyentuh kain celupan atau sutera selembut tapak tangan Rasul Allah. Aku telah berkhidmat kapada Rasul Allah selama 10 tahun tetapi beliau tidak pernah berkata 'ah' kepadaku dan tidak pernah menegur terhadap apa yang aku lakukan dengan teguran "Kenapa engkau lakukannya?", juga tidak pernah menegur kenapa aku tidak melakukan sesuatu." Cuba letakkan diri kita dalam situasi itu. Seorang hamba baginda langsung dilayan mulia, biarpun masyarakat memandang mereka tanpa darjat
Setelah 43 tahun hidup bersama dengan Quraish, Baginda menguji kepercayaan mereka akan dirinya di Bukit Shafa. Bersyukur dengan respons yang diterima, Rasul Allah lantas berterus-terang. "Ketahuilah sesungguhnya Aku seoarang pemberi peringatan kepada kalian daripada seksa yang pedih." Gerunkah kita andainya kita menjadi saksi peristiwa itu? Seruan pertama dakwah secara terbuka dimulakan dengan ancaman keras. Congaklah, jika Abu Lahab yang bangun menempelak seruan Rasul Allah ketika itu, siapa pula 'fotokopi' baginya zaman ini? Kebencian terhadap Baginda tidak tehenti di situ. Satu lorong di Mekah menjadi saksi Rasul Allah pulang ke rumah dengan kepala yang kotor ditabur pasir. Seorang anak perempuan Nabi menangis sambil mebersihkan kotoran itu tetapi Rasul Allah berkata: "Wahai anakku, janganlah kau menangis! Sesungguhnya Allah melindungi ayahmu" Pilu bukan hati seorang anak apabila ayahnya dihina sebegitu rupa? Lebih pilu apabila ayahnya langsung tidak mengeluh malah berasa mesra dengan dugaan Allah itu.
Bahagian ini amat sukar dicoretkan. "Ketika orang-orang sedang melakukan solat subuh berjemaah pada hari Isnin, tiba-tiba kain penutup di kamar Aisyah tersingkap dan Rasulullah muncul dari baliknya lalu memandang mereka yang sedang berbaris dalam solat, kemudian Baginda tersenyum manis, sehingga Abu Bakar mundur mempersilakan Baginda menjadi imam dan orang orang pun nyaris membatalkan solat mereka kerana gembira menyaksikan kehadiran Rasulullah, tetapi beliau mengisyaratkan dengan tangannya agar mereka terus menyelesaikan solat mereka, kemudian Baginda pun masuk kembali ke dalam kamar dan melabuhkan kain penutup". Ditakdirkan Allah, itulah pandangan terakhir Baginda kepada sahabat dan umatnya. Allah telah menghendakki bahawa pandangan terakhir Baginda kepada umat Baginda ialah ketika mereka SOLAT! Kehendak Allah telah menentukan bahawa SOLAT merupakan wasiat terakhir Baginda! Wahai saudaraku, ingatlah pesan terakhir yang ditinggalkan Rasul Allah kepada kita dengan rasa redha dan senyuman yang manis; solat. Ya SOLAT.
الصلاة يا امة محمد
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment