Bilangan 16 : 28 Muharram 1428H bersamaan 16 Februari 2007
Kewajipan Seorang Muslim Terhadap Saudaranya
Oleh : Mohd Hanifah bin Jusoh Tahun Tiga, Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams
Islam merupakan agama yang menuntut persaudaraan. Islam menuntut seseorang muslim supaya bergaul dengan saudara seIslamnya dengan cara yang mampu menjinakkan dan menyatukan hati-hati. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerana itu, damaikanlah antara kedua saudaramu.” (al-Hujurat: 10)
Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu yang menimbulkan perselisihan dan meliarkan hati. Antara faktor utama yang meliar dan menimbulkan perselisihan hati ialah empat perkara iaitu berlaku zalim, meninggalkan teman (tidak menolong), berbohong dan menghina. Seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain. Dia tidak menzalimi saudaranya, tidak membohonginya, dan tidak menghinanya. (Diriwayatkan oleh Muslim)
Iman seseorang muslim tidak akan sempurna sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Seorang muslim mesti berusaha menghalang sebarang perkara yang boleh menyakiti saudaranya dan mencegah sebarang perkara yang memudaratkannya. Tidak ada perkara yang lebih besar kesakitan dan mudaratnya yang wajib dihindarkan daripada empat perkara yang telah disebutkan di atas.
Haram Menzalimi Saudaranya Seseorang Muslim tidak boleh mendatangkan kemudaratan terhadap diri, agama, maruah, dan harta saudaranya. Ini kerana perkara tersebut merupakan suatu kezaliman yang dapat memutuskan hubungan serta membatalkan ukhuwwah Islamiah. Hadis daripada Abu Zar:“Wahai hambaKu! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman terhadap diriKu dan Aku jadikannya haram di kalangan kamu, maka janganlah kamu melakukan kezaliman.”Haram Membiarkan Saudaranya Tanpa Menghulurkan Pertolongan Membiarkan seseorang muslim tanpa pertolongan adalah diharamkan terutamanya ketika perlu dan terdesak.
Allah berfirman: Jika mereka meminta kepada kamu dalam (urusan) pembelaan agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan.” (al-Anfaal: 72)Abu Daud meriwayatkan hadis: Tidak ada seseorang muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika harga dirinya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah akan membiarkannya (tidak menolongnya) ketika dia memerlukan pertolongan.
Imam Ahmad meriwayatkan: Sesiapa yang berada di sisi orang mukmin yang dihina dan dia tidak menolongnya sedangkan dia mampu untuk menolongnya, Allah akan menghinanya di hadapan semua makhluk pada hari kiamat nanti.Haram Berbohong Antara hak muslim ke atas saudaranya ialah berkata benar ketika berbicara dengannya dan membenarkannya apabila mendengar percakapannya.
Di antara perkara yang mencacatkan konsep amanah dalam Islam ialah dia memberitahu perkara yang bercanggah dengan realiti sebenar atau berbicara kepadanya dengan sesuatu yang bersalahan dengan kebenaran terutamanya apabila orang yang diberitahunya mempercayai cakapnya. Dalam Musnad Imam Ahmad daripada Nawwas bin Sam’an , daripada Rasulullah: Amat besarlah pengkhianatan apabila kamu berbicara dengan saudaramu, dia mempercayai kata-katamu tetapi kamu berbohong dengannya. Berbohong bukan tujuan menjinakkan hati dan menjaga harta atau jiwa adalah penipuan dan pengkhianatan. Diriwayatkan oleh Tirmizi daripada Rasulullah: Apabila seseorang hamba berdusta dengan satu pendustaan, maka malaikat akan melarikan diri daripadanya sejauh sebatu lantaran bau busuk pendustaannya itu.
Haram Menghinanya Haram bagi seseorang muslim memperkecilkan dan menghina saudaranya kerana ketika Allah menciptanya, Dia tidak menghinanya bahkan memuliakannya, mengangkat kedudukannya dan memberi tanggungjawab kepadanya. Oleh itu, menghinanya adalah suatu pelampauan kepada batas-batas rububiyah dan ini merupakan satu dosa yang besar. Rasulullah bersabda “Seseorang itu sudah dianggap melakukan kejahatan apabila dia menghina saudara seIslamnya.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment