Bilangan 17 : 5 Safar 1428 H bersamaan 23 Februari 2007
Rahsia Kemampuan Labah-Labah Merayap Pada Dinding dan Siling
Oleh: Zetty Sofia bt. Mohd Zanib,Tahun 1,Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah.
Sekumpulan pengkaji yang diketuai oleh pakar biomekanik, Andrew Martin dari Institute for Technical Zoology and Bionics (Institut Zoologi Teknik dan Bionik) di Bremen, Jerman meneliti kaki seekor labah-labah pelompat berukuran kecil (Evarcha arcuata) dengan menggunakan mikroskop elektron. Imej didapati memperlihatkan rangkaian rambut-rambut panjang (setae) di bawah tapak kaki labah-labah tersebut. Pada bahagian permukaan hujung bawah rambut ini dilapisi oleh rambut-rambut yang jauh lebih kecil lagi (setule) dengan hujung berbentuk segitiga
Untuk menentukan nilai daya tarikan yang terhasil antara kaki labah-labah dengan permukaan di bawahnya, para saintis tersebut telah mengukur daya tarikan antara kaki labah-labah dengan sebuah batang kecil, di samping kaedah yang biasa diterapkan dalam ilmu bahan. Penghitungan oleh para saintis tersebut menunjukkan bahawa seekor labah-labah yang bergantung pada siling atau atap rumah dengan penempelan 600,000 setule menghasilkan daya tarikan yang mampu menahan 173 kali berat badannya sendiri!
Setelah meneliti hasil ini, Martin menyimpulkan bahawa labah-labah tersebut bergantung pada permukaan melalui daya van der Waals (daya tarikan elektrostatik antara molekul yang terpisah pada jarak 1/1,000,000 milimeter). Daya van der Waals hanya bergantung kepada jarak antara dua objek dan tidak dipengaruhi oleh faktor lingkungan. Oleh sebab itu, teknik yang digunakan labah-labah ini untuk menempel dan merayap pada dinding dapat diaplikasikan dalam pembuatan bahan seperti kertas catatan yang dapat dilekatkan ketika basah dan objek angkasa yang dapat melekat pada permukaan di ruang angkasa.
Sememangnya, kebolehan seekor labah-labah menempel dan merayap pada permukaan dinding dan siling adalah sangat mengagumkan. Walau bagaimanapun, yang lebih mengejutkan ialah kebolehan itu dihasilkan oleh 600 000 unit-unit rambut mikro ? Jika direnung pada kejadian manusia, secara purata terdapat sekitar 100,000 helai rambut pada kepala manusia. Ajaibnya, enam kali ganda jumlah ini didapati pada telapak kaki labah-labah yang ukurannya beribu-ribu kali jauh lebih kecil daripada kepala manusia. Kewujudan sedemikian banyak rambut-rambut berukuran seni pada permukaan yang sedemikian kecil (tapak kaki labah-labah) menggambarkan adanya kehebatan ciptaan mikro. Satu lagi fakta menarik yang ingin dikongsi bersama ialah rambut-rambut ini tidak pernah ditemui pada bahagian lain tubuh labah-labah melainkan pada lapan tapak kakinya. Maklumat genetik mengenai bentuk dan fungsi rambut-rambut ini terdapat pada DNA labah-labah, dan daripada sel-sel pada telapak kakinya, rambut-rambut tersebut dihasilkan.
Satu gagasan ilmu yang disebut sebagai "smart materials" ialah sebuah bidang kajian yang merangkumi penyelidikan dan penghasilan bahan-bahan yang boleh digunakan dalam usaha untuk meminimumkan masalah dalam perkembangan sesuatu produk. Metod yang dilakukan para saintis dalam kajian secara terperinci dan pemilihan kaki labah-labah sebagai bahan penyelidikan mereka menunjukkan bahawa terdapat “smart materials” pada kaki labah-labah. Demikian menunjukkan bahawa kemampuan labah-labah menempel dan merayap pada permukaan dinding dan atap rumah merupakan sebuah ciptaan istimewa.
Sudah pasti mustahil bagi seekor labah-labah untuk menghasilkan rambut-rambut itu sendiri. Tidak ada labah-labah yang dapat berfikir untuk menerapkan daya van der Waals dengan melakukan pengukuran daya elektrostatik agar dapat berjalan pada permukaan dinding dan atap rumah. Labah-labah juga tidak akan mampu membuat dan menumbuhkan rambut-rambut pada kakinya sendiri. Jelaslah bahawa semua ini telah secara khusus dicipta oleh Al-Khaliq untuk tujuan tertentu. Bahkan, jurnal yang membongkar rahsia kaki labah-labah tersebut melonjak naik sebagai karya yang amat berharga kerana menjadi batu loncatan kepada penemuan-penemuan selepasnya. Buktinya, para saintis berjaya menyelesaikan kesulitan yang timbul dalam bidang perindustrian. Segalanya berilhamkan sumber alam yang merupakan hak mutlak Allah s.w.t.
Sesungguhnya, tidak ada keraguan bahawa Allah, Tuhan sekalian alam yang telah mencipta labah-labah dan memberinya kemampuan yang tersendiri itu. Allah jualah yang telah memberi ilham kepada para saintis untuk mengkaji kaki labah-labah dan seterusnya mengaplikasikan teori “smart materials” itu dalam konteks yang lebih luas demi kemaslahatan umat manusia pada era kemodenan hari ini. Tidak dapat disangkal lagi kalam Allah s.w.t dalam kitab junjungan kita Al-Quran bahawa setiap apa yang diciptakan di dunia ini mendatangkan seribu satu manfaat dan kebaikan kepada manusia hatta sekecil manapun ia. Sehinggakan penempelan sang labah-labah pada dinding dengan daya tarikan saintis Belanda (van der Waals) itu yang pada zahirnya kelihatan sangat biasa dan tidak ada yang menarik, pada hakikatnya apabila dikaji seolah-olah telah menjadi picu sepucuk pistol yang apabila ditarik, telah membuka kepada penyelesaian pelbagai masalah dalam bidang sains, teknologi dan perindustrian.Allah berfirman dalam Al Qur'an, mafhumnya: Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan, dari air, maka sebahagian daripada haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagiannya berjalan dengan dua kaki sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah An-Nur, 24:45)
Sudahkah kita mengkaji semuanya? Cukupkah dengan spiderman yang seekor itu?Bagaimana pula dengan batman, cicakman dan kluangman serta yang seangkatan dengannya? Mungkinkah ada lagi rahsia yang belum terungkap? Bukan mungkin, tetapi pasti! Science is not a destination; instead it’s a journey with an infinity width and length. A discovery will always trigger the next. It’s just the matter of time.
Diolah daripada karya asal Harun Yahya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment