Thursday, August 30, 2007

LAPORAN DAURAH KITAB ‘AYYUHAL WALAD’ 2007

LAPORAN DAURAH KITAB ‘AYYUHAL WALAD’ 2007

Pada 23 hingga 25 Ogos 2007 Badan Pembangunan Insan Perubatan Mesir dengan kerjasama Unit Pembangunan Insan Perubatan Chapter Iskandariah telah menganjurkan daurah kitab ayyuhal walad sempena cuti musim panas.Program ini disertai oleh 59 pelajar perubatan ikhwah akhwat dari Kaherah,Iskandariah,Tanta dan Mansurah.Daurah kitab tersebut dikendalikan oleh ustaz Fuad Bin Amran, pelajar Darul Ifta’ Mesir. Program diadakan bagi memantapkan thaqafah islam dan mengukuhkan ukhwah islamiah di kalangan pelajar-pelajar perubatan dari muhafazah-muhafazah yang berbeza di bumi Mesir ini.

Kitab ‘Ayyuhal Walad’ dikarang oleh Al Imam Zainuddin Hujjatul Islam Abi Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali.Kitab ini merupakan surat dikarang oleh Imam Ghazali bagi menjawab pertanyaan anak muridnya dan dijadikan panduan oleh muridnya dan setiap penuntut ilmu yang berada di atas jalan menuntut ilmu.Antara perkara yang diminta oleh anak muridnya ialah nasihat-nasihat dan doa dari imam ghazali untuk dipegang oleh anak muridnya sepanjang hidupnya.

Antara nasihat yang diberi oleh Imam Ghazali ialah nasihat yang paling baik adalah nasihat-nasihat dari firman Allah dan hadis Rasulullah S.A.W.Selain itu ilmu-ilmu yang telah dipelajari perlu disertai oleh amal kerana walaupun sebanyak mana ilmu yang telah dipelajari tidak berguna sedikitpun tanpa amal.Syurga yang dijanjikan oleh Allah tidak akan dapat dikecapi oleh seseorang tanpa rahmat dan amal taat pada Allah taala.Nafsu yang ada dalam diri seseorang manusia perlu dilatih agar taat pada segala perintah allah dan tidak terpengaruh dengan nikmat hidup di dunia ini.Seseorang mukmin yang ingin menuju jalan kesufian perlu ada seorang guru mursyid yang mampu mendidik dan membimbing jiwa manusia dengan mengeluarkan segala akhlak yang buruk dan memasukkan akhlak yang baik dalam jiwa manusia.

Ustaz Fuad juga memberi peringatan kepada para peserta agar memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk kemudahan umat islam.Peserta diperingatkan agar menjadikan setiap pakaian yang dipakai sewaktu bekerja sebagai pakaian takwa kepada Allah taala. Selain daripada menghuraikan isi daripada kitab Ayyuhal Walad,ustaz Fuad juga menyelitkan kisah-kisah para ulama terdahulu dan golongan salaful salleh bagi memberi motivasi kepada para peserta agar meningkatkan ibadah kepada Allah taala dan memberi pedoman bahawa jalan kesufian tidak akan dapat dicapai dengan membaca kalam-kalam yang hebat dari ulama terdahulu,tetapi perlu dicapai dengan mujahadah untuk mengawal hawa nafsu dan menghadirkan hati dalam setiap ibadah yang dilakukan

Pada hari terakhir diadakan sesi muhasabah bagi melihat apa yang respons para peserta terhadap program ini. Selain itu juga Abang Munir telah memberi sedikit kalam taujihat kepada para peserta sebagai motivasi kepada kami semua untuk terus menunjukkan kesungguhan dalam menuntut ilmu agama.

Saya berharap agar program ini dapat dijalankan pada setiap tahun dan dijadikan titik tolak kepada pelajar perubatan di bumi mesir ini bagi mengutip setiap permata ilmu yang terdapat di bumi ini samaada ilmu perubatan atau ilmu agama.Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan dan komitmen dalam menjayakan program ini.

Disediakan oleh,
TENGKU MUHAMMAD FAKHRUDDIN
Setiausaha
Daurah Alex ‘07

No comments: