Al-Quran mendahului Sejarah Haman?
Edisi Internet, Disediakan Oleh: Nurul Syafiqah binti Mohd Shohaimi, Tahun satu, Kuliah Perubatan Universiti Kaherah.
Al Qur'an mengisahkan kehidupan Nabi Musa AS dengan sangat jelas. Tatkala memaparkan perselisihan dengan Fir'aun dan urusannya dengan Bani Israil, Al Qur'an menyingkap kisah tentang Mesir kuno. Babak-babak bersejarah ini baru sahaja menjadi perhatian para pakar dunia. Jika diperhatikan babak-babak bersejarah ini, maka jelaslah bahwa Al Qur'an dan sumber pengetahuan yang dikandungnya adalah diwahyukan oleh Allah Yang Maha Tahu kerana Al Qur'an bersesuaian langsung dengan seluruh penemuan besar di bidang ilmu pengetahuan dan sejarah kepurbakalaan di masa kini.
Antara contoh pengetahuan yang dapat ditemukan dalam paparan Al Qur'an ialah tentang Haman, seorang pelaku yang namanya disebut di dalam Al Qur'an, bersama dengan Fir'aun. Ia disebut di enam tempat berbeza dalam Al Qur'an, di mana Al Qur'an memberitahu kita bahwa ia adalah salah satu dari sekutu terdekat Fir'aun.
Nama Haman tidak pernah disebut di dalam kitab Taurat yang berkaitan dengan kehidupan nabi Musa A.S. tetapi dapat ditemukan di bab-bab terakhir perjanjian lama sebagai pembantu raja Babilonia yang banyak melakukan kekejaman terhadap Bani Israel kira-kira 1100 tahun setelah nabi Musa A.S. Al-Quran yang jauh lebih bersesuaian dengan penemuan kepurbakalaan pada masa kini benar-benar memuatkan nama Haman yang merujuk pada zaman nabi Musa A.S.
Tuduhan-tuduhan yang dilontarkan terhadap Kitab Suci Islam di kalangan bukan Muslim dapat dipatahkan tatkala naskah Hiroglif berjaya ditafsir, sekitar 200 tahun silam, dan nama Haman ditemukan di naskah-naskah kuno itu. Hingga abad ke-18, tulisan dan artifak Mesir kuno tidak dapat difahami. Bahasa Mesir kuno tersusun atas lambang-lambang dan bukan kata-kata, iaitu berupa hiroglif. Gambar-gambar ini, yang memaparkan kisah dan membukukan catatan peristiwa-peristiwa penting sebagaimana penggunaan tulisan di zaman moden, biasanya diukir pada batu dan banyak daripadanya diawet berabad-abad lamanya. Dengan tersebarnya agama Nasrani dan pengaruh budaya yang lain pada abad ke-2 dan ke-3, Mesir meninggalkan kepercayaan kunonya.Contoh terakhir penggunaan tulisan hiroglif yang diketahui ialah sebuah artifak dari tahun 394. Bahasa gambar dan lambang telah dilupakan kerana tiada seorang pun dapat membaca dan memahaminya. Hal ini menjadikan pengkajian sejarah nyaris mustahil. Keadaan ini berterusan hingga sekitar 2 abad silam.
Pada tahun 1799, kejutan besar terjadi di kalangan sejarawan dan pakar lainnya, Rahsia hiroglif Mesir kuno terbongkar melalui penemuan Batu Rosetta. Penemuan mengejutkan ini berasal dari tahun 196 SM. Nilai penting artifak ini adalah penulisan artifak tersebut dalam tiga bentuk tulisan: hiroglif, demotik (bentuk sederhana tulisan tangan bersambung Mesir kuno) dan Yunani. Dengan bantuan naskah Yunani, tulisan Mesir kuno berjaya diterjemahkan. Penerjemahan artifak ini diselesaikan oleh orang Perancis bernama Jean-Françoise Champollion. Sejak dari itu, sebuah bahasa yang telah luput dan aneka peristiwa yang tersirat berjaya diungkapkan.Banyak pengetahuan tentang peradaban, agama dan kehidupan masyarakat Mesir kuno berjaya dibongkar dan hal ini membuka jalan kepada penemuan yang lebih banyak tentang babak penting dalam sejarah umat manusia ini.
Melalui penterjemahan hiroglif, mereka mendapati nama Haman benar-benar disebut dalam prasasti-prasasti Mesir. Nama ini tercantum pada sebuah tugu di Museum Hof di Wina. Tulisan yang sama ini juga menyebutkan hubungan akrab antara Haman dan Fir'aun.
Dalam kamus People in the New Kingdom , yang disusun berdasarkan keseluruhan kumpulan prasasti tersebut, Haman disebut sebagai pemimpin para pekerja batu pahat.
Penemuan ini mengungkap kebenaran yang sangat penting: Berbeza dengan kenyataan para penentang Al Qur'an, Haman adalah seorang yang hidup di Mesir pada zaman Nabi Musa AS dan rapat dengan Fir'aun serta terlibat dalam pekerjaan membuat bangunan, bertepatan sebagaimana dipaparkan dalam Al Qur'an.
Dan berkata Fir'aun: "Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahwa dia termasuk orang-orang pendusta". (QS. Al Qashas, 28:38)
Ayat dalam Al Qur'an tersebut mengisahkan peristiwa di mana Fir'aun meminta Haman mendirikan menara bertepatan dengan penemuan artifak ini. Melalui penemuan luar biasa ini, sanggahan tidak berasas dari para penentang Al Qur'an terbukti salah dan tidak relevan.
Menakjubkan!! Al Qur'an menyampaikan kepada kita pengetahuan sejarah yang tidak mungkin dimiliki atau diketahui di zaman Nabi Muhammad SAW kerana Hiroglif tidak mampu ditafsir hingga akhir tahun 1700-an. Ketika nama Haman ditemukan dalam artifak kuno tersebut, ini menjadi bukti lagi bagi kebenaran mutlak Firman Allah.
Dipetik dan diolah dari artikel Harun Yahya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment