Sunday, August 26, 2007

JAULAH MAKAM PARA ANBIYA’ DAN AULIYA’ 2007

JAULAH MAKAM PARA ANBIYA’ DAN AULIYA’ 2007


Disediakan oleh: Raja Fatihah binti Raja Bidin

Tarikh : 8 Julai 2007 Masa : 9:00 pagi - 6:30 petang

Tanggal 8 Julai 2007, PERUBATAN dibawah Biro Pembangunan Insan telah mnganjurkan satu program yang dinamakan Jaulah Makam Auliya’ sekitar Kaherah, Mesir.


Bak kata orang,tak sah kalau datang ke Mesir tapi tidak mengambil peluang untuk melawat makam-makam para Auliya’ dan Syuhada’ yang berjasa kepada Islam. Justeru itu, saya dan sahabat-sahabat akhawat yang lain tidak melepaskan peluang keemasan yang ada untuk menyertai jaulah tersebut. Kami turut ditemani oleh beberapa orang senior dan sahabat ikhwah yang lain.


Keterujaan dan ketidaksabaran hati mendorong kami bersiap seawal mungkin, namun kami sedikit terkilan dengan kelewatan tremco yang sepatutnya tiba seawal 8 pagi. Malangnya terlewat dari masa yang ditetapkan. Namun begitu, ia tidak memadamkan keinginan dan semangat kami untuk meneruskan ziarah, sudah begitulah adat tinggal di bumi Anbiya’ ini, kami tetap menerimanya dengan tabah.


Akhirnya perjalanan yang dinanti-nanti bermula setelah seramai 14 orang akhawat dan 10 orang ikhwah berjaya dikumpulkan dan dibahagikan kepada 2 buah tremco. Kami memulakan perjalanan menaiki tremco merentasi kesibukan jalan di Cairo dan juga panas terik matahari dengan semangat yang tinggi.


Tepat jam 10.10 pagi, kami tiba di makam pertama, hanya beberapa meter dari kediaman akhawat, iaitu makam Sayeda Zainab. Keadaan agak kelam kabut sedikit kerana kesalahfahaman kami yang menyangka makam tersebut adalah yang dibahagian luar masjid, tetapi rupa-rupanya, makam yang sebenar adalah di dalam masjid Sayeda Zainab itu sendiri.


Makam yang pertama kami ziarahi, terasa syahdu dihati mengenangkan ulama’ dan wali-wali sufi serta ahli bait Rasulullah S.A.W yang berkedudukan tinggi di sisi Allah S.W.T berbanding betapa kerdilnya diri kami ini.


Perjalanan diteruskan untuk melawat makam-makam seterusnya. Botol-botol air mineral sentiasa menemani kami sepanjang perjalanan memandangkan cuaca panas dan kedahagaan air yang sedikit sebanyak meresahkan kami. Syukurlah, kami sudah di ‘briefing’ awal-awal lagi tentang perkara tersebut.Alhamdulillah…


Di samping abang-abang senior yang banyak memberi maklumat, kami juga diberi taklimat oleh seorang ustaz yang dibawakan khas dari rumah kelate kito, Ustaz Malik .Beliau yang berpengalaman tentang jalan-jalan di Mesir dan arif tentang makam-makam yang terkenal telah memberi taklimat dan bercerita kepada kami sejarah makam-makam tertentu yang kami lawati.


Perjalanan semakin ‘best’ memandangkan kami banyak mengetahui maklumat-maklumat serta ilmu baru serta cerita-cerita Keramat para Auliya’ yang membuat kami terpegun dan ta’ajub dengan kekuasaan Allah menganugerahkan keistimewaan para auliya’ tersebut. Terdapat cerita-cerita keramat mereka, yang jika difikir dan diikutkan logik akal, terasa amat mustahil dan tidak mungkin terjadi kepada manusia biasa. Namum begitulah, sebagai hambaNya, ia mengajar kami rasa bersyukur dan mengakui akan kekuasaan Allah S.W.T. Betapa istimewanya para wali dan Auliya’ di sisi Allah Yang Esa. Subhanallah..sekali lagi terasa betapa kerdilnya kami..


Perjalanan masih panjang, banyak lagi makam-makam yang perlu dilawati, dikunjungi, yang menunggu kami tiba untuk membacakan doa dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada mereka. Walaupun peluh menitik, kepenatan dirasai dan pancaran matahari yang menyakitkan mata, kami teruskan juga, walaupun terkadang kami diberi amaran halus oleh senior-senior supaya melimitkan masa untuk bergambar, semua itu adalah fenomena biasa bagi kami, akhawat tahun 1 Cairo. Kami terima dengan rela hati dan terbuka segala teguran itu.


Sebaik melangkah kaki kedalam masjid yang menmpatkan Makam Imam Besar Syafi’e, hati merasa sayu, seakan tidak percaya berada di makam yang mulia ini. Betapa besarnya nikmat Allah kepada hamba-hambaNya. Disini terletaknya makam Imam kami yang bermazhabkan Syafi’e.


Memandangkan waktu telah hampir petang dan masing-masing kepenatan, kami berhenti rehat dan menumpang makan di kawasan makam ini. Kami (akhawat) ditugaskan menghidang makanan yang telah dimasak oleh senior ikhwah. Pengalaman makan beramai-ramai sambil bercerita sesama kami tidak dapat dilupakan. Sehingga tidak sedar masa berlalu pantas. Usai berkemas dan membersihkan kawasan yang kami gunakan, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.


Hasan Al-Banna, hampir semua arif tentang peristiwa yang menimpa As-Syahid Hasan Al-Banna, kami sempat menziarahi makam tersebut yang terletak disebalik lorong-lorong kecil dan sunyi, tidak kelihatan sesiapa pun dikawasan makam tersebut dan yang lebih terkilan lagi, pintu untuk masuk ke makam juga terkunci. Walaupun hanya sempat berdoa dan membacakan Al-Fatihah, kami berasa berpuas hati kerana akhirnya tiba di makam pejuang islam yang syahid fi sabilillah.Allahu Akbar!! Moga-moga kami juga tergolong dalam golongan yang menegakkan Islam dibumi Allah ini.Aamiin.



Terasa semangat baru mengalir dalam diri, pejuang-pejuang masa lampau sanggup mati demi Islam tercinta, walau jenazah mereka dipulaukan, mereka tetap mulia disisi Allah Taala. Betapa besarnya pengorbanan orang-orang Islam terdahulu, sedangkan sekarang..umat Islam ditahap membimbangkan dengan segala macam masalah terutama dikalangan remaja-remaja islam. Amat menginsafkan dan menyedihkan hati kami. Moga-moga kami jugalah yang akan menjadi tunas-tunas baru perjuangan Islam. InsyaAllah.



Menjelang petang, kami ke destinasi terakhir, Masjid Hussin, pasar husin @ pasar khan Al-Khalili terkenal sebagai tempat menghabiskan duit oleh kaki-kaki shoping yang gemar berbelanja barang-barang yang terdapat di Mesir. Antara pengunjung setia disini ialah pelajar-pelajar malaysia dan tidak lupa pelancong asing yang datang ke mesir. Bagi kami yang mengikuti jaulah makam auliya’, bukan kedai-kedai yang ’zahmah’ dengan pengunjung-pengunjung yang menjadi tarikan, bukan juga bazar-bazar yang menjual gelang koka yang bisa mengaburi mata, tetapi tujuan asal tetap kami ikuti untuk menjejaki makam yang mulia sayidina Hussein, cucu Rasulullah S.A.W.



Walaupun ada antara kami yang sudah pernah menziarahi tempat ini, penerangan dari ustaz yang mengiringi kami sedikit sebanyak menambahkan pengetahuan baru tentang sejarah sayidina Husin. Memandangkan masa masih mengizinkan kami untuk meneruskan ziarah, kami bersetuju dengan cadangan senior kami untuk melawat makam tang seterusnya..katanya,hanya sekitar kawasan husin ini. Kami mula berjalan kaki dari masjid Husin menyelusuri lorong-lorong kecil dan bengkang bengkok, penuh dengan orang ramai yang lalu lalang juga tidak ketinggalan kenderaan yang tidak lupa membunyikan hon yang bisa membingitkan telinga kami.



Setelah menempuh perjalanan yang penuh rintangan, akhirnya kami tiba di sebuah makam yang tertulis ”Ini adalah makam Buniyamin,saudara lelaki Nabi yusof” (in arabic of course). Sambil menunggu ustaz berurusan dengan penjaga makam, kami mengambil kesempatan untuk merehatkan diri.



Sudah suratan takdir, makam tersebut terkunci, so, kami pun menjenguk-jenguk dari luar sahaja. Kami bersiap-siap untuk meninggalkan masjid tersebut tetapi kami masuk ke masjid semula atas arahan ustaz yang mengatakan bahawa penjaga makam ada kuncinya. Tetapi rupa-rupanya makam yang tertulis wujud didalam masjid itu sebenarnya tiada dan tidak wujud disitu. Peristiwa tersebut benar-benar pelik dan menguji kami. Namun begitu,walaupun penat berjalan, kami tetap tersenyum puas mengenangkan pengalaman berharga yang tidak mungkin kami dapat di masa akan datang.



Alhamdulillah, walaupun berlaku sedikit kekecohan di akhir perjalanan akibat tersilap melawat makam. Semua itu adalah pengalaman berharga buat kami. Sepanjang perjalanan juga kami saling bantu membantu sesama sahabat tanpa ada sebarang masalah. Program ’Jaulah makam auliya’ 07’ juga turut menguatkan lagi ukhuwwah yang terbina sesama kami akhawat dan juga sesam ikhwah yang mengambil bahagian disamping ilmu dan pengetahuan yang amat bernilai bagi kami semua.



Untuk akhirnya,saya mewakili peserta akhawat mengucapkan Jazakumullahu Khairan kathira kepada semua yang terlibat, khasnya urusetia rehlah ini yang dikepalai oleh Exco Biro Pembanguanan Insan PERUBATAN, exco-exco, ikhwah dan akhawat. Kami juga mohon maaf andai ada salah silap sepanjang rehlah berjalan. Semoga sekali bakti yang dicurahkan, berniatkan ikhlas LillahiTaala dan mendapat ganjaran yang setimpal dariNya.InsyaAllah.



Wallahu’allam..Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarkaatuh.

No comments: