Oleh: Mohd Ashraf Mohamad Isa, Ketua Biro Pembangunan Insan, Tahun Tiga, Universiti Kaherah
Perubahan itu berlaku di mana-mana, pada sesiapa sahaja. Berubah hati, fikiran, tingkah laku, tanggungjawab, hobi, minat, dan sebagainya. Sampai satu masa, kita akan berubah.
Apapun, perubahan itu mungkin baik dan betul hala tujunya, dan mungkin juga sebaliknya (Wal3iyazubillah). Apa yang kita harapkan tentunya perubahan itu positif, dan bukannya negatif; hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini.
Faktor perubahan itu terlalu banyak untuk diungkapkan dan diuraikan satu persatu. Pokoknya perubahan ini mulanya dari hati, terdetik dalam diri.
Firman Allah Taala: Sesungguhnya Allah tidah akan mengubah keadaan satu-satu kaum itu sehingga mereka sendiri yang mengubahnya.
(Surah Ar-Ra’d: ayat 11).
Firman Allah Taala: Sesungguhnya Allah tidah akan mengubah keadaan satu-satu kaum itu sehingga mereka sendiri yang mengubahnya.
(Surah Ar-Ra’d: ayat 11).
Jika benar perubahan itu datangnya dari diri sendiri, apa mungkin seseorang itu akan menyalahkan orang lain untuk berubah? Ataupun mungkin persekitaran dan suasana sekeliling yang menjadi masalah? Stephen R. Covey juga menyatakan di dalam bukunya, ‘The 7 Habits of Highly Effective People’, “highly proactive people do not blame circumstances, conditions, or conditioning for their behavior. It is a product of their own conscious choice, based on values, rather than a product of their conditions, based on feeling.”
Hendak berubah tetapi tidak tahu caranya? Mulakan perubahan itu daripada sekecil-kecil perkara, tetapi disertai dan diiringi dengan consistency ataupun istiqamah. Tidak perlulah terlalu terburu-buru untuk mengubah sesuatu yang besar, tetapi tiada langsung istiqamah diselitkan bersamanya. Rasulullah S.A.W. amat menekankan istiqamah di dalam suatu perkara sebagaimana disebut di dalam hadisnya:
Daripada Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdillah R.A. katanya: Aku bertanya: “Ya Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selain daripadamu.”
Sabda Nabi S.A.W.: “Katakanlah “Aku beriman dengan Allah”, kemudian istiqamah!”
(Imam Muslim, al-Baihaqi dalam al-Sunan 1/76, Ahmad dalam Musnadnya 5/371, dan al-Daraqutni dalam al-Sunan 3/45)
(Imam Muslim, al-Baihaqi dalam al-Sunan 1/76, Ahmad dalam Musnadnya 5/371, dan al-Daraqutni dalam al-Sunan 3/45)
Dan ketahuilah bahawa perubahan itu memerlukan pengorbanan. Mahu berubah tanpa berkorban? Silalah sahabat untuk mencuba. Inginkan sebuah rumah yang cantik, tanpa berkorban membeli perhiasannya. Mahu menjadi lebih peramah, tanpa dikorbankan masa bersendirinya. Inginkan kedamaian dan keamanan, tanpa berkorban menentang perampas dan pemusnahnya. Mahu mencari keredhaan Allah, tanpa berkorban meninggalkan laranganNya. Benar-benar ingin berubah, tanpa dikorbankan masa yang sia-sia itu untuk mencari ilmu, mendalami dan memahami diri, mengenal Allah Tuhan langit dan bumi, menjelajah sirah Rasulullah dan kepahitannya turut dirasai, mengenal hakikat dunia sebenar dan akhirat yang abadi; dikorbankan perangai buruk yang lama dan dicari ganti.
Perubahan itu, akarnya sudah pasti Lillahi Taala. Barulah rendang dan cantik pohonnya. Serta sedap dan enak buahnya. Akan tetapi, untuk mendapat hasil yang terbaik, mungkinkah dengan hanya menyemainya, tanpa dijaga dan dibajai secukupnya? Dan seterusnya, dengan niat yang benar, hati yang ikhlas, usaha yang terdaya, pengorbanan yang digadai, dugaan yang menimpa, langkah yang baru bermula, akan dilihat hasilnya dalam sehari dua? Bersabarlah dan terus bersabar. Perubahan ini pasti ada hasilnya. Janji Tuhan itu tiada dustanya. Bantuan Allah pastikan tiba.
“nantilah..nak tunggu seru”
Hidayah belum tiba untuk berubah?
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Apakah kehadiran hidayah itu sememangnya untuk ditunggu? Ataupun sebaliknya untuk dicari? Seruan untuk berubah sudah lama berkumandang. Mungkin akibat sering lalai dan terleka, kita barangkali hanya mengabaikannya, mengambil enteng akan isinya, ataupun mungkin langsung tidak menyedari akan kehadirannya. Berdegil untuk terus menanti? Maka, penantian itu tiada penghujungnya. Manakala pencarian itu sudahpun bermula, dan hidayah itu akan terus dicari bersama.
Bila perlu aku berubah? ”tunggulah masuk tahun baru nanti...”. Inilah masalah yang sering kita hadapi. Bertangguh dan terus bertangguh. Tunggulah di akhir tahun ini dan berbagai-bagai azam baru akan didengari, bersama azam lama yang mungkin belum dipenuhi. Bertimbun-timbun pula jadinya. Bukan salah untuk berazam, tetapi sejauh mana azam itu ternyata dan terbukti? Tahniah kepada mereka yang berjaya merealisasikannya. Oleh itu sahabat-sahabat, mulakanlah perubahan diri ini dari sekarang. Jangan bertangguh lagi.
Mudahkan laluan perubahan diri!
Mudahkan laluan perubahan diri!
Aku berubah? Ya, aku berubah dan memang aku hendak berubah. Dan perubahan ke arah kebaikan itu tidak akan pernah terhenti.
No comments:
Post a Comment