Wednesday, November 21, 2007

The Night of Power

Bilangan 29 : 23 RAMADHAN 1428H Bersamaan 05 Oktober 2007M

Oleh: Nur Izzati Dzulkiflee, Tahun Tiga, Universiti Kaherah

Allahumma balighna lailatul-qadr...

Itulah doa yang sering meniti bibir-bibir kita semenjak kedatangan Ramadhan. Menurut kebanyakan riwayat terkuat, lailatul qadr berada di kalangan 10 malam terakhir Ramadhan. Alhamdulillah, Allah telah memanjangkan umur kita untuk sempat hidup di 10 malam terakhir Ramadhan kali ini. Apakah sepatutnya tindakan kita? Bagi yang masih terleka, dia akan biarkan malam-malam ini berlalu begitu sahaja tanpa mengambil barakah yang berada di sekelilingnya. Tetapi, bagi yang prihatin, malam-malam inilah yang akan ditunggu-tunggu dan berusaha menggunakan dengan sebaik mungkin untuk mencapai keredhaan Allah.

Apakah sejarah yang menjadikan Malam Al-Qadr ini begitu istimewa?

Hal ini demikian kerana pada malam tersebut, Allah memulakan penurunan Al-Qur’an. Al-Qur’an mempunyai dua peringkat penurunan. Peringkat pertama adalah penurunan Al-Qur’an secara menyeluruh dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah [langit dunia].

Peringkat kedua pula adalah penurunan Al-Qur’an secara beransur-ansur dari Baitul Izzah ke dunia dalam tempoh 23 tahun melalui perantaraan Sayyidina Jibril ‘Alaihissalam.

Jika kita renung-renung kembali, pada malam inilah Allah memulakan takdir untuk agama-Nya dengan menggarispandukan da’wah Rasul-Nya yang mulia. Ia juga merupakan malam yang mulia kerana Allah mengangkat kedudukan Rasul-Nya dan memuliakan manusia melalui penurunan risalah-Nya, juga penamat risalah kenabian.

“Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan”
[Al-Qadr:3]

Pada malam tersebut dijelaskan akan berlaku pelbagai hikmat yang jarang dilihat manusia. Sudah tentu ramai pembaca banyak mendengar peristiwa luar biasa yang berlaku pada malam yang barakah ini. Sesungguhnya ia datang daripada Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Amat Mendalam pengetahuannya.. Bukankah malam ini lebih baik daripada 1000 bulan. Bahkan ia lebih baik dari mana-mana malam dan waktu. Sudah tentu beramal pada malam tersebut 1000 kali lebih baik daripada malam yang lain!

“Turun para Malaikat dan roh [Malaikat Jibril] pada malam itu dengan izin Tuhannnya untuk mengatur segala urusan”
[Al-Qadr:4]

Allah Taala menyambung keterangan bahawa pada malam itu, para malaikat khasnya Jibril turun ke dunia membawa barakah kepada insan-insan yang bangun untuk mencari keredhaan Allah.

Bertanya Aisyah Radiallahu’anha kepada Rasulullah S.A.W. tentang apakah yang sepatutnya dipohon jika beliau ditakdirkan bertemu dengan malam tersebut. Jawab Rasulullah: Berdoalah; “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampunkan, maka ampunkanlah kami”

Antara amalan-amalan yang boleh dilakukan untuk menghidupkan malam ini ialah dengan memperbanyakkan doa kepada-Nya, solat-solat sunat seperti tarawih, tahajjud, hajat, taubat, tasbih serta witir dan membaca Al-Qur’an. Jika sempat, ambil peluang beri’tikaf di masjid di sepanjang malam. Ambil masa berseorangan untuk muhasabah diri, renung kembali adakah kita telah menggunakan Ramadhan yang bersisa beberapa hari ini dengan sebaiknya. Apa salahnya kejutkan sekali ahli beit untuk sama-sama mengimarahkan 10 malam terakhir ini. Periksa kembali ‘To Do List’ yang dibuat di awal Ramadhan adakah kebanyakan amalan mengena target yang disasarkan sebelum ini? Berdoalah dengan penuh tulus supaya Ramadhan ini menjadi titik tolak bagi kita untuk berubah. Semoga kita bertemu Syawal seolah-olah bayi yang baru dilahirkan; bersih dari dosa-dosa dan panyakit hati.

Ayuh ikhwah akhawat sekalian, sudah tiba masanya untuk kita menaikkan ‘gear’ untuk melakukan pecutan sementara Ramadhan masih bersisa. Tinggikan frekuensi ibadat anda moga-moga Allah menggolongkan kita semua daripada golongan yang menemui Lailatul Qadr, menghidupkannya serta diampuni segala dosa yang bakal mendatang. Allahumma istajib du’aana. Ameen Ya Rabb!

Mulianya Ramadhan kerana adanya Lailatul Qadr,

Mulianya Lailatul Qadr kerana satu-satunya malam Al-Qur’an diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah,

Mulianya Muhammad kerana dialah satu-satunya nabi yang menerima wahyu Al-Qur’an,

Mulianya Makkah dan Madinah kerana Al-Qur’an diturunkan di sana,
Betapa mulianya kita di sisi Allah sekiranya kita membaca, menghayati, dan mengamalkan segala petunjuk...

AL-QUR’ANUL KAREEM…..



No comments: