Oleh: Zawil Farhiha Razali, Timb. Presiden 2 PERUBATAN
Firman Allah di dalam surah Fatir ayat 15 yang membawa maksud, “Wahai manusia, kamulah yang fakir (memerlukan Allah), dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) Maha Terpuji.” Memang benarlah kata-kata Allah yang Maha Esa; manusia adalah makhluk yang fakir dan sentiasa memerlukan bantuan. Lihatlah pada diri kita sendiri, dengan adanya nikmat pancaindera yang Allah kurniakan inilah kita mampu melihat, menghidu, mendengar dan sebagainya. Oleh yang demikian, sedarlah bahawa setinggi mana kedudukan dan darjat seseorang manusia itu, ia adalah fakir. Dengan hakikat ini layakkah kita untuk bermegah-megah hidup di atas muka bumi Allah?
“senjata yang paling kuat adalah dengan DOA”
Namun begitu Allah tidak pernah putus-putus memberi nikmat dah rahmatNya kepada makhluk. Bukan begitu sahaja, malahan Allah sudi mendengar dan mengkabulkan permintaan hamba-hambaNya. Ayatullah dalam surah Al- Baqarah ayat 186 bermaksud “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu mematuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.”
“kita hendaklah meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa Allah akan memakbulkan doa kita”
Terbuktilah kepada kita bahawa senjata yang paling kuat adalah dengan DOA. Apa sahaja hajat yang kita inginkan akan dikabulkan oleh Allah, sekiranya kita memohonnya dengan sepenuh hati. Ada pula yang mengatakan “Mengapa Allah tidak mengabulkan apa yang aku minta sedangkan doaku tidak putus-putus.” Di sini kita harus sedar bahawa doa ini juga mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu:
1) yakin
2) khusyuk
3) tidak tergesa-gesa
4) hendaklah kita seorang yang memelihara dirinya daripada perkara yang haram.
Yakin di sini bererti kita hendaklah meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa Allah akan memakbulkan doa kita. Di samping itu kita haruslah khusyuk dalam berdoa, yakni meminta dan merayu dengan sepenuh harapan. Janganlah sesekali kita menghendaki Allah menunaikan permintaan kita dengan cepat, kerana dengan adanya sikap sebegini akan menyebabkan kita mudah berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah. Antara syarat yang utama ialah kita mesti mengelak daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang haram. Tiada gunanya kita meminta dengan khuysuk, namun kita masih diselubungi perkara-perkara yang haram. Wana’uzubillah.
Rasulullah pernah bersabda bahawa “Doa adalah ibadah.“ Maka tidak rugi kita melazimi diri kita untuk sentiasa berdoa, kerana padanya ada ganjaran pahala. Bahkan kita yang mendapat kelebihan dengan berdoa. Maka pembaca sekalian, marilah kita memenuhkan rutin kehidupan kita seharian dengan memohon kepada Allah, dari sekecil-kecil pemintaan sehinggalah sebesar-besar perkara. Wallahua’lam.
1 comment:
salam..doa juga menunjukkah penyerahan dan penundukan hati kepada Rabb..tanda penghambaan dan pergantungan hanya sanya kepada Allah Al-Rahman...doa org mukmin ialah doa yang disertai dengan usaha dan istiqamah yang berterusan agar hidayah yang sampai kepadanya tetap terpelihara dan dijaga....
Post a Comment