Thursday, November 15, 2007

Al-Quran: Petunjuk sepanjang zaman


Bilangan 28 : 16 RAMADHAN 1428H Bersamaan 28 September 2007M
Oleh: Ahmad Baihaqi Hassan, Tahun Dua, Universiti Kaherah



Kita semua tahu, Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk disebarkan kepada semua umat manusia. Al-Quran merupakan mukjizat yang agung kepada junjungan besar Muhammad S.A.W. Namun, sejauh mana pengakuan keimanan kita terhadap Al-Quran melalui perbuatan.




Adakah peristiwa Nuzul Quran yang disambut setiap 17 Ramadhan memberi kesan terhadap kita untuk menjadi hamba yang lebih baik?




Allah S.W.T. telah memerintahkan manusia supaya membacanya sebagaimana firman Allah S.W.T. yang berbunyi;




Maksudnya : “(Katakanlah wahai Muhammad): Aku diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (mekah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati, dan menguasai segala-galanya; dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi daripada orang-orang Islam (yang menyerahkan diri bulat-bulat kepadanya). Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran. Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Quran dengan beramal dengannya ) maka faedah perbuatannya itu akan kembali kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepada mereka: “Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran.”


Ia merupakan perlembagaan kepada umat Islam dan sebagai sumber rujukan utama bagi umat Islam seluruhnya. Di dalamnya terkandung ilmu-ilmu yang dapat memberi manfaat kepada manusia. Sejajar dengan kepentingan al-Quran dalam kehidupan manusia, maka setiap muslim dituntut untuk mempelajari ilmu al-Quran. Sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi:



“Sebaik-baik di kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” Membiasakan diri agar sentiasa membaca Al-Quran walaupun sedikit pada tiap-tiap hari merupakan inisiatif yang boleh kita lakukan untuk mengikat hati kita kepada Al-Quran. Tetapkan dalam setiap hari waktu yang terbaik untuk membaca Al-Quran. Sesetengah daripada kita mampu untuk membaca buku, akhbar, majalah dan mengulangkaji pelajaran berjam-jam, sedangkan dalam masa yang sama tidak mampu membaca Al-Quran. Perkara ini perlu diubah oleh setiap manusia kerana bacaan Al-Quran lebih utama. Sahabat! Jauhilah daripada meninggalkan Al-Quran dan lupa membacanya. Cukuplah ganjaran pahala yang digandakan pada bulan Ramadhan ini menjadi pemangkin hati kita untuk membaca Al-Quran. Firman Allah Taala :


“Dan katalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kamuku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”


(Al-Furqan 30)




Daripada Saidina Othman R.A. berkata, “Sekiranya hati kami bersih, nescaya aku tidak kenyang daripada membaca al-Quran, sesungguhnya aku benci datang padaku hari yang mana aku tidak dapat melihat mashaf.”


Namun, membaca sahaja tidak cukup. Membaca sambil merenungkan dan menghayati makna yang terkandung pada ayat-ayat yang dibaca dan cuba memahaminya. Memohon syurga kepada Allah S.W.T. apabila membaca ayat-ayat yang menyebut syurga dan berlindung kepada Allah SWT daripada api neraka apabila membaca ayat-ayat yang berkaitan dengan neraka.Itulah adab yang diajar junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada kita. Allah S.W.T telah berfirman di dalam Al-Quran




“Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya merka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang mempunyai fikiran.”


(surah As-Sod;29)




“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran ? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran.”


(surah Muhammad;24)




Di dalam hadith yang telah diriwayatkan oleh Hudzaifah.


“….. Apabila Nabi S.A.W. terbaca ayat yang mengandungi makna bertasbih (kepada Allah) baginda bertasbih, dan apabila terbaca ayat yang mengandungi doa, maka baginda berdoa, dan apabila terbaca ayat yang bermakna meminta perlindungan (kepada Allah) beliau memohon perlindungan.”


(Riwayat Muslim)




Daripada ‘Auf bin Malik R.A.: “Aku solat bersama Rasulullah SAW pada suatu malam maka baginda membaca surah Al-Baqarah, tidak melalui mana-mana ayat rahmat kecuali Baginda berhenti seketika dan memohon rahmat daripada Allah S.W.T. Dan tidak membaca mana-mana ayat azab kecuali baginda berhenti dan meminta perlindungan daripada Allah S.W.T.”


(Riwayat Abu Daud dan Nasaie)




Ibnu Mas’ud RA berkata: “Adalah seorang daripada kami apabila mempelajari sepuluh ayat al-Quran nescaya mereka tidak mempelajari ayat lainnya sehinggalah mereka mengetahui makna dan beramal dengan apa yang mereka pelajari.”


Cuba Tanya diri kita. Pernahkah kita cuba untuk memahami al-Quran? Pernahkah kita menangis ketika membaca al-Quran? Alangkah malangnya kita jika Allah tidak memberi hidayah kepada kita untuk memahami Al-Quran. Alangkah malangnya kita, jika Allah tidak memberikan hidayah kepada kita untuk menangis, insaf dengan apa yang termaktub di dalam Al-Quran.




Firman Allah S.W.T., Maksudnya : “ Mereka itulah sebahagian daripada nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka daripada keturunan Nabi Adam dan daripada keturunan orang-orang yang. Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh dan daripada keturunan Nabi Ibrahim dan (daripada keturunan) Israel dan mereka itu adalah daripada orang-orang yang kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.”


(Surah Maryam :58)




Daripada Ibnu Abbas R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Sebaik-baik manusia yang membaca al-Quran adalah mereka yang membaca Al-Quran engkau lihat ia dalam keadaan khusyuk kepada Allah.”


(Riwayat Baihaqi)




Realiti keparahan sikap masyarakat sekarang amat membimbangkan kita. Ada antara mereka yang sanggup mendustakan dan memperlekehkan apa yang telah termaktub didalam al-Quran. Akidah mereka umpama telur di hujung tanduk. Betapa manusia semakin jauh dengan Al-Quran.


Kita, yang masih sedar, jangan sekali mengikuti jejak langkah mereka apatah lagi mengiktiraf mereka. Ingatlah antara tanggungjawab kita di muka bumi ini adalah sebagai daieyyullah. Jadikan Al-Quran teman kita, panduan kita dan akhlak kita. Ramadhan ini, moga lebih mendekatkan kita kepada Al-Quran.. InsyaAllah.

No comments: