Oleh:
Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin, Presiden PERUBATAN, Tahun Lima, Universiti Ain Shams
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,
Menemui sahabat-sahabat, warga PERUBATAN yang dikasihi sekalian, moga dalam rahmat dan kasih sayangNya setiap masa, waktu dan ketika. Mungkin kita kerap kali mendengar hadith Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam yang berbunyi;
“Tidak (sempurna) iman seseorang itu apabila dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”
[Riwayat Muslim]
Dan juga sebuah hadith yang berbunyi;
“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”
[Riwayat Ahmad]
Suatu kisah yang pernah berlaku pada zaman baginda, sepertimana yang pernah diceritakan oleh Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma. Seorang sahabat telah memberikan hadiah satu kepala kambing kepada sahabatnya. Lalu, setelah menerima hadiah tersebut, sahabat yang menerima hadiah itu terlintas di dalam hatinya bahawa, “Jiranku mungkin lebih memerlukan makanan ini berbanding diriku”. Lalu dihadiahkan kepala kambing itu kepada jirannya itu. Kemudian, jiran yang baru menerima hadiah kepala kambing itu juga turut memikirkan perkara yang sama untuk jirannya yang lain pula, dan akhirnya berpindah-pindahlah kepala kambing itu dari satu rumah ke rumah yang lain sehingga tujuh buah rumah dan akhirnya ternyata bahawa kepala kambing itu telah kembali sampai kepada pemiliknya yang pertama.
Begitulah hakikat persahabatan dan sifat memuliakan sahabat yang telah ditunjukkan oleh generasi di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dan sebenarnya banyak lagi kisah atau peristiwa yang berlaku pada zaman baginda yang pastinya tidak muat untuk diceritakan dalam ruangan sekecil The Zikr ini. Namun cukuplah untuk menjadi pengajaran dan buah muhasabah serta panduan kepada kita dalam kehidupan kita sehari-hari terutama dalam aspek persahabatan dan ukhuwwah sesama kita pelajar-pelajar perubatan, walaupun kadang kala, mungkin sukar untuk kembali kita terjemahkan dalam realiti semasa kita pada hari ini.
Namun dalam keberadaan kita di ardil kinanah ini, jauh merantau di perlembahan Nil, menuntut sekelumit ilmu untuk di bawa pulang. Jauh daripada keluarga dan sanak saudara, sahabat-sahabatlah sebenarnya merupakan insan-insan yang paling dekat, berada di samping kita untuk sama-sama berkongsi suka dan duka, perit jerih berjuang menuntut ilmu. Tanpa sahabat dan teman yang baik, sukar untuk kita menjalani kehidupan sebagai perantau jauh di negara orang dengan sebaiknya.
Justeru, aspek inilah sebenarnya ingin kembali saya ketengahkan walau sebenarnya ia cukup sering menjadi maudhu’ tazkirah dan bicara peringatan kita setiap kali. Namun, penting untuk kita melihat kembali, sejauh mana tahap persahabatan kita pada hari ini. Dalam konteks realiti kita di PERUBATAN, adanya di sana, pelajar-pelajar yang mendapat tajaan JPA, ada antaranya dibiayai oleh MARA. Begitu juga dengan pelajar-pelajar tajaan negeri, zakat, baitul mal mahupun mereka yang datang ke mari hanya dengan tampungan perbelanjaan dari ibu dan ayah. Sejauh mana kita menyedari dan menghargai kehadiran mereka-mereka ini di sekeliling kita. Menyayangi, seperti menyayangi diri kita sendiri. Bersedia untuk memberi apa jua bantuan dan pertolongan apabila diperlukan. Muhasabah. Muhasabah dan muhasabahlah diri kita sendiri.
“ Sejauh mana kita menyedari
dan menghargai kehadiran
mereka-mereka ini di
sekeliling kita.”
Begitu juga bagaimana untuk kita menghargai keberadaan sahabat-sahabat kita yang lain, yang berada di bidang agama, yang turut sama menuntut ilmu di sini. Bagaimana hubungan kita dan bagaimana kita telah memupuk kasih sayang antara kita atas dasar seaqidah dan seagama. Jauhkanlah diri kita dari buruk sangka, hasad dengki, dan iri hati. Sebaliknya, ikhlaskanlah diri kerana tidak akan dikumpulkan dua orang yang bersaudara itu, yang bertemunya dan berpisahnya hanya kerana Allah, melainkan mendapat lembayung naungan Arasy Allah di hari akhirat kelak. Sama-samalah kita renung-renung dan kita islah dan perbaiki hubungan yang ada.
Moga hari-hari yang akan terus kita lalui kini akan memperlihatkan hubungan kasih sayang fillah antara yang muda dan yang tua, pelajar perubatan mahupun pelajar agama, sama-sama mencari nilai ukhuwwah yang indah, sebagaimana yang diadaptasikan dari sirah baginda. Buat semua ahli PERUBATAN, seruan daripada saya, sama-samalah kita mencari ‘manisnya sebuah persahabatan.
No comments:
Post a Comment