Wednesday, November 21, 2007

Pemergianmu Ditangisi

Bilangan 30 : 07 SYAWAL 1428H Bersamaan 12 Oktober 2007M
Oleh:
Mohammad Shakir Izani, Tahun 2, Universiti Kaherah
Wan Ahmad Ashraf Wan Naim, Tahun 2, Universiti Mansurah


الله اكبر الله اكبر الله اكبر ولله الحمد



Akhirnya, bulan Ramadan yang penuh dengan segala keberkatan telah pun meninggalkan kita. Sama ada kita merelakan pemergiannya ataupun tidak, realitinya ‘dia’ telah pun jauh meninggalkan kita. Sama ada kita rugi kerana tidak beribadat atau tidak memohon keampunan semasa dalam bulan tersebut, maka itu kita punya fasallah! Rugi kerana kemalasan kita ataupun sudah sememangnya takdir yang telah ditetapkan Allah begitu, hanya Dia sajalah yang lebih mengetahui. Moga-moga kita ini tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti.




Habis puasa, kita beraya. Maka bertakbirlah kita beramai-ramai menandakan kemenangan kita mengharungi kerenah nafsu segala nafsu. Kecil, besar, tua, muda, yang munafik, yang lawan perjuangan Islam - semuanya keluar bertakbir. Kononnya sudah menanglah tu! Faham atau tidak makna-makna kalimah takbir tersebut, hal ini ditolak ke tepi. Yang penting, takbir tetap takbir. Maka usah hairanlah jika artis-artis yang selama ini menyesatkan minda masyarakat pun turut sama bertakbir. Soalnya, siapakah yang mengiktiraf kemenangan kita tersebut? Juri manakah yang mengiktiraf kemenangan kita itu? Ataupun kita tanpa segan-silu mengaku dan mendakwa kita telah menang sedangkan juri yang sebenarnya langsung tidak mengiktiraf kemenagan kita itu? Fikir-fikirkan.




Antara amalan-amalan kita semasa bulan yang penuh keberkatan tersebut ialah berdoa. Ya, berdoa. Tentulah dalam bulan yang penuh dengan pengampunan, takkanlah kita tak mahu berdoa lagi, kan ? Rugi ‘dowh’! Bulan lain malas nak berdoa pun tak mengapalah. Maka bedoalah kita dengan bermacam-macam doa - nak mumtazlah, nak jadi kayalah, nak bini lawalah, nak masuk syurgalah, nak dosa diampunkanlah, nak itulah, nak inilah. Semuanya ajukan kepada Tuhan kita. Kemudian, dengar pula ayat- ayat suci Al-Quran, hadis-hadis Nabi tentang kelebihan berdoa, makin naik ‘sheikh’ kita berdoa. Sampai menangis teresak-esak pun ada. Baguslah begitu.


Firman Allah S.W.T.:
Dan Tuhanmu berfirman, “berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu.” Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina-dina.
(Surah Ghafir: 60)


Sabda Nabi S.A.W.:
Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”


Begitu pemurahnya Allah S.W.T. Tuhan Yang Maha Memberi. Dia berhak memberi kepada sesiapa saja yang Dia mahu. Sama ada Dia perkenankan doa kita kerana rahmat-Nya ataupun sebagai istidraj sahaja, hanya Dialah yang lebih mengetahui. Baiklah, itu hal doa-doa yang diperkenankan. Bagi yang tak diperkenankan doanya pula, soalnya kenapa? Sedangkan dalam firman-Nya Allah menyebut bahawa Dia akan perkenankan doa sesiapa saja yang memohon kepada-Nya. Sudah tentu perkara ini menghairankan orang yang jahil. Alangkah ruginya mereka yang berdoa sampaikan bengkak biji mata tapi doa mereka tak diperkenankan oleh Allah S.W.T.



Terdapat sebuah buku yang membicarakan perihal doa-doa yang terhijab. Buku tersebut menceritakan bahawa suatu hari seorang ulama sufi yang terkenal, Ibrahim bin Adham didatangi penduduk kampung yang meminta penjelasan beliau mengapa doa mereka tidak diperkenankan oleh Allah S.W.T. Beliau memberikan sepuluh sebab doa terhijab. Antaranya ialah; kita kenal Allah S.W.T. tapi tidak menunaikan hak-hak-Nya. Apabila bertembung hak Allah dengan hak kita, kita lebih mengutamakan hak kita. Sebagai contoh, apabila azan berkumandang menyeru kita agar lekas ke masjid menunaikan hak Allah S.W.T., kita masih lagi sibuk dengan perkara-perkara keduniaan yang tak kunjung habis. Hal demikianlah menyebabkan doa kita tak diterima. Ini baru satu. Bagaimana dengan baki sembilan lagi?
Jadi, jikalau doa kita tak diperkenankan, usahlah kita lekas menyalahkan sesiapa. Cuba kita muhasabah diri kita sendiri terlebih dulu. Jangan rasa pelik sekiranya doa kita tidak dimakbulkan kerana Allah S.W.T. sajalah yang lebih tahu sebabnya. Sebagai insan, kita sebagai manusia yang dianugerhakan fakulti berfikir, pandai-pandailah kita menilai dan membaiki diri. Orang-orang yang diterima amalannya, mereka sentiasa berusaha meningkatkan keimanan bertambah dan meneguhkan ketakwaan mereka terhadap Allah S.W.T.



Akhirnya, teruskanlah melakukan amal dan kebajikan sebagaimana kita telah lakukan dalam bulan Ramadan yang lepas. Semoga kita ditemukan Allah S.W.T. dengan kehadiran bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Pada kesempatan sambutan Aidilitri yang mulia ini juga saya ingin memohon maaf jika terdapat salah dan silap, terlanjur tutur kata dan hamburan kata-kata nista yang telah saya lakukan sama ada secara sengaja atau tanpa sedar.



Selamat hari raya Aidilfitri,
maaf zahir dan batin.

No comments: