Fadhilat Hari Asyuraa’
Oleh : Tengku Abdul Kadir bin Tengku Zainal Abidin, Tahun 4, Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams
Ketua Biro Pembangunan Insan PERUBATAN
Maal Hijrah tiba lagi, menandakan bermulanya tahun baru 1428H yang pastinya menjanjikan pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang mengharungi setahun yang mendatang ini. Muharram sebenarnya suatu bulan yang cukup penting dalam Islam. Selain sebagai bulan pertama dalam Islam, padanya juga ada satu hari yang dikenali sebagai Hari Asyura’ yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.
Hari Asyura’ berasal daripada perkataan ‘Asyara’ yang bermaksud kesepuluh atau merujuk kepada hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram. Sementara hari yang kesembilan daripada bulan Muharram dikenali sebagai Hari Tasua’ (kesembilan).
Pada awal Islam, Hari Asyura’ adalah merupakan hari yang cukup dimuliakan dan diwajibkan bagi orang-orang Islam untuk berpuasa padanya hinggalah turunnya perintah berpuasa fardhu pada bulan Ramadhan. Maka, hukum berpuasa pada Hari Asyura’ bertukar kepada Sunat Muaakad. Namun, sebahagian sahabat masih kekal melaksanakan puasa pada hari tersebut mengenangkan kelebihan dan keistimewaan hari tersebut berdasarkan banyak nas-nas daripada Hadith Rasulullah SAW.
Nas-Nas Berhubung dengan Hari Asyura
Daripada Abdullah Ibni Abbas berkata: ‘Telah menyuruh Rasulullah S.A.W. supaya berpuasa pada Hari Asyura’ pada hari kesepuluh pada bulan Muharram.’
Daripada Abu Qatadah, bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: ‘Berpuasalah pada hari Asyuraa’ bahawasanya aku berharap diatas Allah S.W.T bahawa ianya (berpuasa itu) dapat mengkifaratkan segala dosa pada tahun yang lalu.’
Biasanya Bangsa Quraish berpuasa pada Hari Asyuraa’ sejak zaman jahiliyyah, juga Rasulullah S.A.W biasa berpuasa di Makkah dan kemudian selepas berhijrah ke Madinah, dan telah turun perintah wajib berpuasa pada bulan Ramadhan maka Nabi S.A.W bersabda: ‘Saya dahulu telah menyuruh kamu sebagai perintah wajib berpuasa Asyuraa’ dan kini terserah siapa suka berpuasa dan yang tidak suka boleh meninggalkannya.’
Dan banyak lagi nas-nas yang menunjukkan kelebihan untuk berpuasa pada Hari Asyura ini.
Cara untuk berpuasa pada Hari Asyuraa’
Puasa Asyuraa’ pada awalnya dilakukan oleh Rasulullah sendirian dan tidak diperintahkan kepada sahabat-sahabat untuk melakukannya ketika baginda masih berada di Makkah, namun selepas penghijrahan baginda ke Madinah, baginda telah meneruskan puasa tersebut dan turut memerintahkan para sahabat untuk mengerjakannya sehinggalah turunnya perintah untuk berpuasa pada bulan Ramadhan. Maka, hukum berpuasa pada Hari Asyuraa’ dimansuhkan.
Hari Asyuraa’ sebenarnya bukan sahaja disambut oleh orang Islam namun dalam masa yang sama golongan Kristian dan Yahudi turut mengagungkan hari tersebut kerana terdapatnya peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari tersebut. Sepertimana yang dinyatakan dalam hadith: “Daripada Ibn Abbas R.A. berkata: ‘Ketikamana sampai Rasulullah S.A.W di Madinatul Munawwarah maka bagida dapati golongan Yahudi berpuasa pada Hari Asyuraa’ maka bersabda Rasulullah S.A.W.kepada mereka : ‘Hari apakah ini yang kamu berpuasa?’
Maka mereka berkata (yahudi): ‘Hari ini adalah hari yang besar bagi kami, dimana Allah S.W.T. telah selamatkan Nabi Musa A.S. dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun bersama kaumnya ke dasar lautan, maka berpuasalah Musa kerana bersyukur maka kami pun berpuasa.’
Maka bersabda Rasulullah S.A.W: ‘Sekiranya begitu kamilah yang lebih layak berpuasa daripada kamu maka berpuasalah Rasulullah S.A.W dan menyuruh sahabat-sahabatnya untuk berpuasa.’
Rasulullah S.A.W telah mengajar umatnya untuk berpuasa pada hari yang sepuluh pada bulan Muharram dengan tidak melakukannya sendirian namun turut berpuasa juga pada hari yang kesembilan atau hari yang kesebelas atau ketiga-tiga hari tersebut bagi mengelakkan meniru puasa orang Yahudi yang berpuasa hanya pada 10 Muharram.
Sebenarnya berlaku khilaf dikalangan ulama dalam menentukan tarikh sebenar Hari Asyuraa’ samada hari kesembilan atau hari kesepuluh. Namun mengambil sikap cermat dalam melakukan ibadah dengan berpuasa pada kedua-dua hari tersebut adalah terlebih baik agar kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan yang ada pada hari Asyuraa’ tersebut. Selain berpuasa kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan yang lain sepanjang Hari Asyuraa’ tersebut, antaranya:
- Solat Sunat selain solat Fardhu
- Menghubungkan Silaturrahim
- Banyakkan bersedekah
- Bersihkan diri dari sebarang kekotoran
- Bercelak Mata
- Menziarahi Ulama
- Menziarahi Orang sakit
- Mengusap Kepala Anak Yatim
- Meluaskan untuk keluarga
- Memotong kuku
- dan Membaca Surah Al Ikhlas seribu kali.
Disaring dari kitab Fadhilat Hari Asyuraa’ Antara Adat dan Istiadat karangan Abu Muhammad An Naqsyabandiy