Monday, February 26, 2007

Adakah Anda Manusia Acuan Al Quran

Bilangan 5 : 10 Zulkaedah 1427H bersamaan 1 Disember 2006

Adakah Anda Manusia Acuan Al Quran?

Oleh : Ahmad Baihaqi Bin Hassan, Tahun 1 Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah


Assalamualaikum, harap semua dalam keadaan sihat. Syukur, ya kawan-kawan sekalian? Kita masih lagi mengecapi nikmat iman dan Islam, yang dewasa ini ramai manusia yang tidak bersyukur mengecapi nikmat tersebut. Betul tak?? Tepuk dada, tanya iman! (jangan tanya selera! Sebab bila kita bertanya selera, kita sebenarnya bertanya nafsu dan nafsu memang suka jika kita tidak beramal dan tidak menghargai kedua-dua nikmat tersebut..)

Ok, sekarang ni, cuba nilai diri kita. Jika betullah kita menghargai nikmat iman dan Islam, yang mana Nabi kita terpaksa menempuh pelbagai penderitaan yang begitu mengazabkan, mengapa senang-senang saja kita tidak beramal dengan ajaran Islam yang sebenar-benarnya? Kita nak dapat mumtaz dalam peperiksaan, tapi pernahkah kita memikirkan mumtaz dalam pengamalan Islam kita? Mumtazkah iman kita??

Kalau bab makanan, kita nakkan makanan yang lazat-lazat. Ya, kita nak zat dan gizi yang seimbang, ada karbohidrat, protin, pelawas dan sebagainya. Tapi pernahkah, kita memberi ‘gizi yang seimbang dan makanan yang sangat lazat kepada roh kita?? Ni untuk diri kita! Bukan untuk orang lain. Bukankah kita meyakini yang adanya hari qiamat?? Pada masa tu, bergunakah tubuh badan yang kuat, jika iman lemah!! (pejam mata dan muhasabah sekejap) …… macam mana?? Adakah kita tidak menginginkan amalan yang cukup banyak untuk dipersembahkan kepada Yang Memberi pelbagai nikmat kepada kita?? Kita tidak malu untuk mempersembahkan amalan yang sedikit kepada-Nya selepas memberikan kita masa yang cukup lama untuk beribadat kepada-Nya?? Sedarlah!! Kita tidak ada alasan di hadapan-Nya lagi. Why?? Sebab kita mempunyai tubuh yang sihat, mampu untuk mendapatkan ilmu (kita ada ustaz Fawwaz setiap Khamis malam Jumaat) jika kita kurang ilmu, bahkan kita mempunyai akal yang cerdas!! Mampukah kita memberi alasan sedangkan Dia Maha Mengetahui!!

Adakah kita tidak mahu menjadi mu’min yang hatinya sentiasa disaluti rasa taqwa kepada Allah, haus dengan ilmu, dahagakan pahala, solat adalah maruah dirinya, dan tidak pernah gentar melawan nafsu! (hei! jangan jadi bacul kepada nafsu sendiri! Lawanlah!!) Enggankah kita mengamalkan hidup dengan penuh kesederhanaan? Kerana bukankah kita sudah mengetahui yang dunia ini adalah rumah sementara menunggu akhirat? Nak buat apa mengejar kemewahan yang sementara sampai lupakan akhirat? (pintarkah tindakan sebegitu?)
Adakah kita gemar membazir masa? Yalah, cakap entah apa-apa, tonton cerita sampai lupakan kewajipan yang patut dibuat…. Adakah kita pernah kepenatan mata lantaran terlalu kuat membaca? Pernahkah suara lesu lantaran terlalu banyak mengaji dan berzikir? Adakah tidur kita lena dengan cahaya keimanan? Adakah kita bangun pada waktu Subuh dengan penuh kecerdasan? Sedarkah kita yang anda perlu menambah usia dengan penuh kematangan dari sehari ke sehari berikutnya?

Sebelum kita meneruskan pembacaan, saya ada satu soalan, simple saja.. umur kita bertambah atau berkurang dari hari ke hari??(saya bagi tempoh 60 saat). Macam mana? Sebenarnya umur kita berkurang dari sehari ke sehari walaupun pada hakikatnya umur kita meningkat. (faham tak? pening ke?) Ok, kita tahu, yang kita sedang menuju ke arah kematian, kan? So, jika kita pergi ke arah kematian, bermakna kita semakin dekat dengan kematian dari hari ke hari? Betul tak? Seperti kita pergi Cairo University, adakah universiti itu semakin jauh dengan anda dari saat ke saat? Tidak! Universiti itu semakin hampir ke arah anda. Begitu juga dengan kematian! Kematian itu satu perkara yang pasti! Allah pernah berfirman,"Setiap yang bernyawa pasti akan mati."(Al-Ankabut;57) Mustahil untuk kita lari dari kematian. Persoalannya, bagaimanakah persediaan kita ke arahnya?

Saya bukannya menyuruh kita beri’tikaf di masjid selama-lamanya sementara menunggu kematian. Sebenarnya buat pengetahuan kita Imam Syafi’e pernah mengatakan ,"Ilmu yang kedua selepas ilmu Syari’ah, yang dapat membawa manusia ke arah mengenali Allah, ialah ilmu perubatan." Bahkan Ibnu Rusydi sendiri pernah berkata,"Ilmu anatomi mampu untuk meningkatkan iman kita." Cuma bergantung kepada cara kita memahami ilmu tersebut untuk mengenali Allah. Bukankah awal-awal agama ialah mengenal Allah? Dan antara cara untuk kita mengenal Allah, ialah dengan mengenali diri sendiri…

So, untuk akhirnya saya berharap agar kawan-kawan belajar bersungguh-sungguh dan betulkan niat kita dalam belajar. Ingat, kita mampu mendekatkan diri kita dengan Allah dalam belajar! Kita mampu memahami agama dengan mengikut kuliyah ustaz-ustaz dan alim ulama’ jika kita nak memahami agama dengan lebih jelas. Hargailah nikmat iman dan Islam yang menjadi tiket untuk kita masuk syurga. Tingkatkanlah amalan untuk dipersembahkan kepada Raja segala raja pada hari Akhirat kelak.
Wassalam.

No comments: