Bagaimana Kita Menghadapi Ujian DariNya
Oleh : Produksi Muslimat PERUBATAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, syukur kita semua panjatkan ke hadrat Yang Maha Esa kerana masih lagi diberi peluang untuk bertemu seketika dalam warkah ini. Diharap kita masih sama-sama berada dalam lembayung rahmat dan redha-Nya, insya Allah. Detik demi detik, hari demi hari, dan minggu demi minggu berlalu di bumi anbia’ ini, sudah tentu telah 1001 kenangan pahit manis kita lalui dan semua itu adalah perancangan Dia semata-mata tanpa ada penglibatan pihak lain. Telah Dia tentukan segalanya dengan aturan terbaik bersama hikmah yang sangat kudus untuk diungkapkan.
Namun, adakah kita telah mengharungi detik-detik ujian, musibah, bala dan petaka yang tiba tanpa diundang itu dengan penuh sabar? Tenang dalam keimanan? Istiqamah dalam pengabdian? Jawapan hanya ada pada empuya jasad yang dikurnia akal fikiran untuk membezakan apa yang baik dan buruk untuk dirinya. Mungkin pada kala ujian tersebut tiba, hati kecil berdetik, ‘Mengapa aku? Kenapa tidak dia? Balik-balik aku je….’ Lupakah diri itu akan firman Allah dalam surah Al-’Ankabut ayat 2 dan 3:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan “kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang–orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.”
Ujian menimpa tanda didikan dariNya, tanda kasih dariNya akan hambaNya kerana enggan hamba itu tergelincir dari landasan kebenaran. Sebagaimana setiap tahun kita diuji dengan pelbagai peperiksaan di universiti dan kita akan berlumba-lumba untuk mendapatkan pangkat yang terbaik agar dapat naik ke tahun yang seterusnya dengan mudah, begitulah jua musibah dariNya. Diturunkan atas dasar untuk menaikkan darjat hamba itu di sisiNya, meningkatkan keimanan dan ketakwaan serta menambah bekalan buat perjalanan di Padang Mahsyar kelak. Cuma terkadang hamba itu (ya’ni kita) lupa dan letih dengan ‘didikan’ itu dan akhirnya keluhan dan rungutan akan terlahir. Tiada lagi namaNya membasahi lidah, tiada lagi detikan hati untukNya, tiada lagi langkahan kaki untuk menuju redhaNya. Fikirkanlah, kadang-kadang hikmah Allah terlalu dalam untuk difahami sehingga meyebabkan seseorang hamba berputus asa dengan rahmatNya. Namun itu semua hanya menjadikan hamba itu ZALIM terhadap Allah. Kasih Allah dibalas dengan berputus asa. Sesungguhnya ketahuilah semua kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya. Yakinlah dengan kalamNya dalam surah Al-Baqarah ayat 286:
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Maka janganlah kita berputus asa dan teruslah memburu rahmat dan redhaNya bersama-sama. Sesungguhnya tiada yang berputus asa itu melainkan kaum yang kafir. Islam itu sendiri tidak pernah mendidik umatnya berputus asa. Seteruk mana pun kita diuji sehingga kita terus tersungkur tanpa mampu bangkit kembali, bersabarlah serta berpautlah pada tali Allah. Mungkin Allah menguji hambaNya dengan satu musibah untuk menyelamatkannya dari kebinasaan sehingga musibah itu menjadi nikmat terbesar baginya. Awas, jangan mengeluh tika engkau dicengkam taring-taring ujian kerana jalan ke arah kebaikan amat sukar.
Namun, Dia juga telah berfirman untuk menenangkan hati hamba-hambaNya dalam surah Al-Insyirah: “Sesungguhnya bersama kesusahan itu kesenangan.” Yakinlah dengan janjiNya yang hak bahawa orang-orang yang sabar akan dikhabarkan berita gembira jua akhirnya. Sessungguhnya Dia tidak pernah memungkiri janjiNya tetapi kita yang selalu memungkiri janji kita sendiri. Saat derita, saat sengsara, saat dirundung malang, senyumlah tanda ketabahan, senyumlah tanda kecekalan menghadapinya kerana Dia Maha Mengetahui dan Memahami. Nescaya akan mengalir dalam dirimu suatu kekuatan dan ketenangan yang luar biasa, insya Allah.
Sebagai pengakhir kalam, renungilah firman Allah ini sedalam-dalamnya, semoga kita sama-sama dapat saling mengingatkan sebagai saudara se’akidah hingga akhir hayat selagi diizinkanNya.
“Dan mintalah pertolongan (daripada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
No comments:
Post a Comment