Monday, February 26, 2007

Bagaimana Kita Pasca Ramadhan

Bilangan 1 : 11 Syawal 1427H bersamaan 3 November 2006


BAGAIMANA KITA PASCA RAMADHAN?

Oleh: Akmal Huzaifah Bin Mohd Isa, Tahun 4, Kuliah Perubatan Universiti Ain Shams, Kaherah


Dengan nama Allah dan segala puji bagiNya, dan selawat serta salam ke atas Rasulullah dan ke atas keluarganya dan para sahabatnya seluruhnya.

Saudara-saudari yang disayangi mudah-mudahan dirahmati Allah sekalian,

Ramadhan telah pergi. Namun, apakah dengan kepergiannya meninggalkan kesan pada jiwa. Apakah tercapai sasaran taqwa yang telah diletakkan Allah seperti dalam firmannya yang masyhur:


‘Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.’ (2: 183)


Maka, dalam keseronokkan dan keghairahan menyambut lebaran yang mulia, persoalan seperti ini haruslah dihalusi dan beberapa perkara berikut harus diberikan perhatian agar tidak termasuk dalam golongan seperti yang disabdakan oleh junjungan kita Rasulullah S.A.W:


‘Berapa ramaikah dari kalangan mereka yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga dan berapa ramaikah mereka yang berjaga malam tidak mendapat apa-apa dari bangun malamnya melainkan penat berjaga malam’.


Amal yang paling baik disisi Allah dan RasulNya ialah amalan yang konsisten. Oleh itu, janganlah amal soleh kita terhenti setakat 30 Ramadhan sahaja dan hilang lenyap selepas itu. Contoh yang paling nyata ialah pembacaan Al-Qur’an. Ia bukannya khusus pada bulan Ramadhan sahaja, bahkan bacaan Al-Qur’an mesti dilakukan setiap hari. Seperti kata pujangga:


‘القران جريدة المسلم’



Begitu juga halnya dengan amalan-amalan lain seperti solat berjemaah, puasa dan sedekah. Amalan-amalan ini tidaklah dikhususkan pada bulan Ramadhan bahkan untuk sepanjang tahun.

Selain itu, perkara-perkara maksiat wajib ditinggalkan sepertimana ketika di dalam bulan Ramadhan kerana amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah ibarat ‘yin dan yang’ di mana ia perlu seimbang demi kesejahteraan. Amat cacat seseorang yang istiqamah dalam melakukan ibadah tetapi dalam masa yang sama istiqamah juga dalam melakukan maksiat.

Adapun yang sering diperhatikan dalam masyarakat, apabila masuk sahaja 1 Syawal langsung mereka melanggar batas-batas agama seperti meringan-ringankan solat, membazir dan berlebih-lebihan dalam pemakaian perhiasan dan makan minum, menyambut lebaran dengan pesta-pesta lagu dan filem-filem yang tidak senonoh dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Mudah-mudahan tidak termasuk dalam golongan ini.

Rakan-rakan seperjuanganku sekalian,

Perbanyakkanlah beristighfar kerana istighfar itu ialah penutup dan penyempurna kepada segala amal soleh seperti solat dan haji. Demikian juga puasa, dituntut untuk menutupnya atau mengakhirinya dengan memperbanyak istighfar. Abu Hurairah r.a. pernah berkata:


‘Mengumpat itu mencarikkan puasa dan istighfar itu menampalnya.’

Selain itu, perbanyakkanlah juga bersyukur kepada Allah. Kerana Allah telah membantu atau memberi taufik dalam mengerjakan puasa, qiam dan sebagainya. Allah berfirman:


‘Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur’ (2: 185)


Antara persoalan yang penting yang harus diambil kira ialah apakah amal diterima Allah? Adapun salafussoleh berdoa kepada Allah selama enam bulan selepas Ramadhan agar diterima amal mereka. Antara tanda-tanda diterima amal ialah:

¨ Istiqamah dalam mengerjakan amal soleh
¨ Lapang dada untuk beribadah dan merasa lazat dengan ketaatan
¨ Bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu
¨ Takut amal tidak diterima
¨ Berasa ghairah terhadap perkara berkaitan agama dan berasa marah jika batas-batas Allah dilanggar
¨ Menjaga solat dan ia adalah neraca kepada istiqamah

Setelah itu, mestilah berjaga-jaga daripada munculnya sifat-sifat mazmumah seperti riya’ dan ujub dalam diri serta hendaklah berserah diri dan tunduk kepada Allah.

Akhir kata, harus ditanam dalam pemikiran bahawa Ramadhan bukan sekadar bulan untuk menumpukan ibadah tetapi adalah kursus motivasi atau kem latihan intensif bagi menghadapi bulan-bulan seterusnya. Medan perjuangan sebenar dalam ibadah adalah sepanjang tahun dan iltizam dalam ketaatan kepada Allah adalah amat perlu.


* * *


Sungguhpun Ramadhan telah berlalu, Allah masih membuka peluang pahala untuk hambaNya. RasulNya S.A.W. pernah bersabda:


‘Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari dari bulan Syawal seolah-seolah dia telah berpuasa sepanjang tahun’.


Puasa enam hari di bulan Syawal adalah antara puasa-puasa sunat yang amat dituntut. Puasa ini boleh ditunaikan walaupun tidak berturut-turut. Tetapi lebih afdal dikerjakan secara berturut-turut sejurus selepas Hari Raya.

No comments: