Bilangan 3: 24 Syawal 1427H bersamaan 17 November 2006
Berkat dalam Usia
Oleh : Tengku Abdul Kadir bin Tengku Zainal Abidin, Tahun 4, Kuliah Perubatan Universiti Ain Shams.
Apa khabar hari ni sahabat-sahabat sekalian. Apa khabar iman di hati? Moga senantiasa di bawah panduan dan petunjuk Allah SWT. Segala puji bagiNya yang masih menghidupkan kita sebagai seorang Muslim, memberikan nikmat untuk kita bernafas, menghirup oksigen tanpa bayaran satu sen pun, melakukan aktiviti-aktiviti harian tanpa sebarang masalah dan melalui hari-hari yang ada dengan rahmat dan kasih sayangnya. Segala puji bagi diriNya, Tuhan semesta alam.
Justeru atas segala nikmat yang diberikan itu, marilah kita muhasabah diri kembali,.menghisab amal sehari-hari, apakah kita telah melakukan kewajipan kita di muka bumi ini sebagai hamba dan khalifahNya dengan sebaik-baiknya ataupun sebaliknya. Cuba perhatikan, bagaimana kita berpagi-pagi. Pukul berapa kita bangun? Pukul berapa kita bersolat subuh? Adakah dengan berjemaah atau lebih senang dengan berseorangan diri? Selepas solat apa yang dilakukan? Pergi awal kah ke kuliah? Apakah lagi amal soleh yang kita lakukan sepanjang hari? Masih lagikah kita merutinkan diri kita melakukan amal-amal rapu yang tidak membawa apa-apa faedah dan juga tidak langsung mendekatkan diri kepadaNya. Soallah diri kita. Hisablah sebaik-baiknya. Sejujur-jujurnya. Kerana kitalah yang lebih mengetahui apa yang kita lakukan sehari-hari. Apakah membawa kepada ketaatan, ubudiyyah kepadaNya ataupun mampu untuk mengundang murka Allah SWT. Sama-sama kita mohon perlindungan dari perkara tersebut. Sabda Baginda Rasulullah SAW wajar menjadi panduan kepada kita:
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Suka saya memetik kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Hujjatul Islam, Al Imam Al Ghazali apabila beliau membicarakan tentang usia manusia. Katanya usia yang telah ditetapkan oleh Allah bagi setiap manusia adalah merupakan modal untuk dirinya beramal. Maka terpulanglah kepada diri seseorang itu menggunakannya. Jika digunakan sebaiknya maka beruntunglah dirinya di akhirat kelak sementara jika tidak maka rugilah dirinya di akhirat kelak. Kalam ini seharusnya menyedarkan kita dan memberikan kita semangat untuk kembali mengoreksi amalan kita sehari-hari agar tidak lari dari matlamat hidup mencari redha Allah SWT. Kerana kita sendiri tidak tahu sekadar mana modal yang diberikan oleh Allah untuk kita lalui sepanjang kehidupan ini. Ada yang diberikan Allah sekadar 20-30 tahun sahaja. Ada yang diperuntukkan lebih lama hingga 100 tahun lamanya. Sabda Nabi:
Umur ummatku adalah antara 60 ke 70
Justeru apa yang patut kita perhatikan bukannya selama mana kita hidup di dunia ini namun sebanyak mana amal yang dapat kita lakukan dalam kita melaluinya. Imam-imam dan tokoh-tokoh besar Islam suatu masa dulu seperti Imam Syafie, Imam Nawawi dan lain-lain kebanyakannya tidak dikurniakan Allah umur yang panjang namun sumbangan mereka terhadap Islam cukup besar dapat dilihat pada hari ini. Betapa berkatnya usia yang Allah kurniakan kepada mereka. Begitulah juga halnya dengan diri kita. Walaupun mungkin kita tidak mampu untuk menjadi seperti mereka. Menyumbang seperti mereka namun kita masih mampu dan berdaya untuk meneruskan hidup ini dengan panduan hidayah daripadaNya. Sama-samalah kita berdoa ke arah itu.
Sahabat—sahabat yang dikasihi,
Pernah suatu hari, Rasulullah menceritakan kepada para sahabat, perihal seorang hamba Allah dari golongan bani Israel yang telah beribadat kepada Allah beribu-ribu tahun lamanya. Allah telah meletakkan dirinya di sebuah pulau seorang diri, dan kemudian telah menumbuhkan sepohon buah yang mengeluarkan buah setiap hari untuk dia makan setiap hari selama dia beribadat hinggalah dia meninggal dunia. Akhirnya tibalah waktu untuk hisaban amal. Setelah ditimbang segala amalan lalu Allah berfirman “Masukkanlah hambaku ini kedalam syurga dengan rahmatKu” namun segera di pintas oleh si hamba Allah tadi “bahkan dengan amalku (amalan dia beribadat selama hidupnya)” Lalu Allah memperkenankannya lalu amalnya kembali ditimbang dan akhirnya melayakkannya untuk masuk ke neraka. Lalu segera si hamba Allah ini memohon keampunan agar dia kembali dimasukkan kedalam syurga Allah dengan rahmat Allah SWT.
Begitulah sahabat-sahabat sekalian, walau sebanyak mana pun amal yang kita lakukan, kita tetap mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah dalam menentukan apakah nasib kita di akhirat kelak. Apatah lagi, kita sendiri tidak tahu bilakah lagi kita akan dijemput oleh Allah mengadapNya di akhirat kelak.
Jauhkan diri daripada melakukan maksiat kepadaNya dalam kita menuntut ilmu kerana Ilmu itu tidak akan pergi kepada mereka yang melakukan maksiat kepada Allah. Hiasilah kediaman kita dengan amal-amal soleh, membaca Al Quran, berzikir dan sebagainya supaya kita sentiasa dikelilingi oleh rahmat Allah dalam perjalanan kita menuntut ilmu di ard kinanah ini. Sama-samalah kita berusaha mendapatkan keberkatan dalam usia yang kita lalui. InsyaAllah...
No comments:
Post a Comment