Wednesday, February 28, 2007

Kelebihan Awal Zulhijjah

Bilangan 8 : 1 Zulhijjah 1427H bersamaan 22 Disember 2006

Kelebihan Awal Zulhijjah

Oleh : Ahmad Syazwan Ahmad Nordin, Tahun 3, Universiti Ain Shams


Zulhijjah merupakan bulan yang terakhir dalam kalendar ummat Islam. Ia juga merupakan salah satu bulan dalam “bulan-bulan haram” selain bulan Zulkaedah, Muharram dan Rejab. Dalam bulan-bulan itu tidak dibenarkan berperang. Disebut di dalam Al-Quran tentang “bulan-bulan haram” ini:

‘Bulan haram dengan bulan haram dan pada sesuatu yang patut dihormati.’
(Surah Al Baqarah ayat 194)

Dalam bulan Zulhijjah wujudnya ‘Aidiladha bertepatan dengan makna Zulhijjah itu sendiri. Para ‘hujjaj’ akan meninggalkan tempat kediaman untuk ke tanah haram yang mulia demi menyahut panggilan Tuhan mereka. Tidak henti-henti para hujjaj menyebut:
‘HambaMu datang menyahut panggilanMu. Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu. Hamba-Mu datang menyambut panggilanMu. Tiada sekutu bagiMu. Hamba-Mu datang menyambut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, dan nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu. Tiada sekutu bagiMu.’

Pastinya ‘Aidiladha disambut dengan penuh rasa keinsafan dan rasa penyesalan oleh kaum muslimin seluruhnya. ‘Musim’ yang berkat ini sememangnya akan digunakan untuk memperbaharui azam yang telus bagi mendapatkan redhaNya. Disunatkan juga untuk melakukan penyembelihan pada hari yang kesepuluh hinga hari ketiga belas demi mengenangkan keiklasan dan ketaatan dua beranak Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Saidina Ismail a.s. Kesungguhan mereka melaksanakan apa yang diperintahkan sememangnya adalah suatu yang perlu diteladani dan diwarisi.

Bulan Zulhijjah menjanjikan seribu satu satu ganjaran dan balasan terutamanya sepuluh hari pertama seperti yang disebut dalam Surah Al-Fajr Ayat satu dan dua:

‘Demi waktu fajar, dan malam-malam sepuluh.’

yang membawa maksud sepuluh hari pertama Zulhijjah. Dan sekian kalinya disebut dalam ayat lain yang juga membawa maksud yang sama:

‘Dan sebutlah nama Allah dalam hari-hari ‘ma’lumat’ (sepuluh hari Zulhijjah)’
(Surah Al-Baqarah ayat 203)

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sebuah hadith:
Tidaklah pada hari-hari itu, segala amal soleh padanya (hari-hari tersebut) yang lebih disukai di sisi Allah dari hari-hari ini iaitu hari bersepuluh (sepuluh awal Zulhijjah).
Berkata sahabat-sahabat:Walaupun jihad pada jalan Allah?

Bersabda Rasulullah:Walaupun jihad di jalan Allah, kecualilah seorang lelaki keluar dengan diri dan hartanya dan dia tidak akan kembali dari sekalian itu walaupun dengan sesuatu.

Hadis ini menjelaskan bahawa Allah amat memuliakan ‘amal buat yang soleh-soleh terutama pada sepuluh hari tersebut. Dan berkata Anas bin Malik, setiap hari pada hari-hari tersebut adalah seperti seribu hari dan hari Arafah umpama sepuluh ribu.

Ulama’ sedikit sebanyak telah membahaskan hadis ini sacara panjang lebar dan secara amnya tidak ada keterikatan yang khusus dalam melakukan amal soleh pada hari tersebut. Ulama berpendapat bahawa antara amalan yang perlu untuk diperbanyakkan ialah berpuasa.
Dan disebut juga akan kelebihan atau fadhilat berpuasa sehari padanya (sepuluh awal Zulhijjah) bersamaan setahun berpuasa. Setelah berpuasa di siang harinya, malam harus diperbanyakkan dengan qiyam (bersembahyang malam). Ada pendapat mengatakan bahawa setiap malamnya (sepuluh hari itu) adalah seperti Lailatul Qadar.
Disebut juga di dalam hadith sahih yang lain riwayat Imam Muslim:

Dari Abi Qatadah r.a: Ditanyakan kepada Rasulullah mengenai puasa pada hari Arafah (sembilan Zulhijjah). Berkata Rasulullah: Akan diampunkan dosa (kecil) pada tahun yang lepas dan pada tahun yang akan datang.

Arafah adalah hari yang besar bagi umat islam di mana pada hari ini para ‘hujjaj’ akan wukuf di Arafah. ‘Haji itu adalah Arafah’. Adalah sunat yang amat-amat dituntut atas orang yang tidak mengerjakan haji untuk berpuasa.

Antara amalan-amalan lain yang perlu diperbanyakkan ialah tahmid (menyebut Alhamdulillah) dan tahlil (la ilaha ilallah). Disunatkan juga untuk beristighfar meminta keampunan dan berdoa dijauhkan dari api neraka. Amalan bersedekah yang secara lazimnya dilakukan pada hari-hari lain perlulah diteruskan malah digandakan pada hari tersebut.

Kita hanya sekadar berusaha, Dia jua yang membalasnya. Sememangnya adalah harus bagi Tuhan semesta alam untuk memberi apa jua pembalasan sekalipun, atas segala amal buat yang dikerjakan, dan kita punya keyakinan bahawa Dia pasti akan menunaikan janji-janjiNya. Moga dengan keiklasan kita beramal, Tuhan akan maqbulkan.

No comments: