Monday, February 26, 2007

Bingkisan Ramadhan

Disediakan oleh: Tengku Abdul Kadir Bin Tengku Zainal Abidin, Tahun 4, Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams
Ketua Biro Pembangunan Insan PERUBATAN.

Segala puji dan syukur di atas rahmat dan kasih sayang Allah yang masih menghidupkan kita dan mengumpulkan kita dalam golongan mereka yang mengimani keesaan Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang wajib disembah dan Nabi Muhammad SAW itu sebagai rasul dan utusanNya.

Untuk sekian kalinya, Ramadhan kita lalui, diam tidak diam kini kita telah pun sampai di penghujung Ramadhan yang jika diselusuri sejarah dan perjalanan hidup salafus saleh dan mereka yang dekat dengan Allah, saat-saat inilah yang amat ditangisi oleh mereka lantaran sayangnya mereka untuk meninggalkan Ramadhan dan takutnya mereka kalau-kalau Ramadhan yang telah dilalui itu adalah merupakan Ramadhan terakhir dalam perjalanan hidup mereka sebagai hamba Allah di muka bumi ini sedangkan belum puas bagi mereka melakukan ibadat sepanjang bulan yang mulia ini.


Begitulah semangat dan cinta Ramadhan yang ditunjukkan oleh mereka, sedangkan bagi mereka yang tidak pernah menghargai kehadiran Ramadhan, tidak pernah menyedari curahan rahmat dan nikmat Allah sepanjang bulan yang penuh berkat ini malah tidak merasakan apa-apa perbezaan antara Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain maka mereka ini sudah pasti tidak akan merasakan apa-apa dengan perginya Ramadhan. Justeru marilah kita sama-sama bermuhasabah, melakukan penilaian terhadap diri sendiri dengan penuh telus jujur dan ikhlas,adakah matlamat Ramadhan, misi dan visi Ramadhan untuk menjadikan kita hamba yang lebih taqwa kepadaNya telah terlaksana ataupun sebaliknya. Apakah ada apa-apa perubahan di dalam diri kita dalam perjalanan mencari rahmat dan redha Allah di dunia ini. Elok jika kita sama-sama merenung hadith yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW yang berbunyi,

"Berapa ramaikah dari kalangan mereka yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan berapa ramaikah mereka yang berjaga malam tidak mendapat apa-apa dari bangun malamnya melainkan penat berjaga malam".

Justeru marilah kita sama-sama memperbaiki amal kita, mengoreksi diri dan menyusun kembali gerak kerja kita dalam mencari redha Allah pada hari-hari terakhir daripada bulan Ramadhan yang masih tinggal ini. Moga kita tidak merasa rugi dan muflis apabila kita berhadapan dengan Allah di hari perhitungan, yaumul hisab kelak.

Pada kesempatan ini, kami di PERUBATAN sebagai sebuah organisasi rasmi dalam menaungi semua pelajar kuliah perubatan yang menuntut di Mesir ini berharap agar semua ahli dapat melalui baki hari yang tinggal dalam bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya terutama dalam mencari nikmat beribadat di malam Al Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Di samping itu juga, sempena Ramadhan ini, marilah kita sama-sama mentajdidkan niat kita serta matlamat keberadaan kita di bumi Mesir ini semoga kita akan terus mengorak langkah mencapai dan menggapai kecemerlangan demi kecemerlangan InsyaAllah. Selamat berusaha. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin
“MEMPERTEGUH KESATUAN MENYEMARAK KECEMERLANGAN”

PERUBATAN.

No comments: